Benarkah Intermittent Fasting Boleh Menurunkan Berat Badan? | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Benarkah Intermittent Fasting Boleh Menurunkan Berat Badan?

Benarkah Intermittent Fasting Boleh Menurunkan Berat Badan?

BENARKAH INTERMITTENT FASTING BOLEH MENURUNKAN BERAT BADAN?

PENULIS: NURSYAFINAZ MOHD NOH 

 

KEGEMUKAN dan OBESITI merupakan satu masalah kesihatan global yang semakin hangat diperbincangkan. Apa yang lebih membimbangkan, Malaysia menduduki carta teratas dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai penduduk paling ramai mempunyai masalah obesiti. Antara punca yang sering dikaitkan dengan masalah kegemukan dan obesiti ialah amalan pemakanan yang tidak seimbang ditambah dengan kurangnya aktitiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

   Lambakan pelbagai produk pelangsingan badan dilihat sebagai satu trend yang sangat membimbangkan. Pelbagai berita mengenai kesan-kesan sampingan produk-produk ini dipaparkan di dalam akhbar malahan produk ini dilabel sebagai produk pembunuh disebabkan oleh kandungannya yang sangat merbahaya, namun masih wujud mereka yang menyokong produk-produk ini. 

Persoalannya, adakah tiada jalan lain kepada permasalahan kegemukan dan obesiti? Benarkah kawalan pemakanan dan regime diet merupakan sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan, lantas ramai yang memilih jalan pintas dengan pengambilan produk pelangsing yang boleh membunuh ini?

    INTERMITTENT FASTING (IF) sebagai alternatif penurunan berat badan

INTERMITTENT FASTING ataupun Berpuasa Terputus BUKANLAH SATU DIET. Ianya adalah pengawalan waktu pemakanan dan berpuasa secara sistematik, menggunakan keupayaan fisiologi sistem penghadaman untuk membakar lemak secara natural. Ini boleh dicapai dengan berpuasa lebih 8 jam dan mengaktifkan sistem lipolisis (pembakaran lemak) untuk tenaga fisiologikal simpanan semulajadi. Berpuasa secara amnya digalakkan oleh kebanyakan agama dan juga ahli kesihatan. Umat Islam sebagai contoh, diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadhan.

Kajian beberapa badan saintifik dan kesihatan telah membuktikan bahawa:

  1. IF adalah cara yang terbaik untuk menyusutkan lemak badan tanpa memusnahkan otot.
  2. IF terbukti meningkatkan kesihatan ke tahap optimum.
  3. Mereka yang mengamalkan IF mendapati penyusutan lemak badan mereka jauh lebih pantas daripada mana mana teknik diet yang pernah amalkan sebelum ini, walaupun tanpa senaman yang kerap.
  4. Pelan berpuasa yang mudah diikuti di samping dapat menikmati pelbagai pilihan makanan tanpa perlu pengawalan kalori yang ketat
  5. Pelan berpuasa yang sangat fleksibel dan mudah diikuti, serta menikmati kebaikan jangka masa panjang atas pemulihan fisiologi badan, seperti berat badan yang optimum, kesihatan mental yang jelas dan tajam serta lebih tahan dari dijangkiti penyakit.

Kajian yang dijalankan oleh (Johnstone, 2015) yang diterbitkan di dalam International Journal of Obesity, menyimpulkan bahawa berpuasa merupakan quick fix dalam mencapai penurunan berat badan yang banyak dalam dalam tempoh beberapa minggu sahaja, dan justeru menjadi kaedah atau tool yang sangat berguna bagi mereka yang mengimpikan penurunan berat badan.  Walaubagaimanapun, adalah sangat disarankan agar anda mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau pakar nutrisi yang bertauliah untuk mengetahui sekiranya anda adalah sesuai untuk mengamalkan Intermittent Fasting ini.

 

Rujukan

Johnstone, A. (2005). Fasting for weight loss: an effective strategy or latest dieting trend? International Journal of Obesity, 39, 727–733. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (2019). Kegemukan (Obesiti). Retrieved from http://www.myhealth.gov.my/kegemukan-obesiti/

Leangains (2010). Intermittent fasting and Leangains. Retrieved from https://leangains.com/the-leangains-guide/

Mattson, Mark P. & Wan, Ruiqian (2005). Beneficial effects of intermittent fasting and caloric restriction on the cardiovascular and cerebrovascular systems. The Journal of Nutritional Biochemistry, 16(3), 129-137.

Varady, K. A. (2011). Intermittent versus daily calorie restriction: which diet regimen is more effective for weight loss? Obesity Reviews, 12(7), e593–e601.

Tarikh Input: 28/04/2020 | Kemaskini: 28/04/2020 | syafini

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXERBA7~