Pustakawan UPM Membantu Menjayakan Program “Minggu Pusat Sumber Sekolah” Di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Pustakawan UPM membantu menjayakan Program “Minggu Pusat Sumber Sekolah” di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan

Pustakawan UPM membantu menjayakan Program “Minggu Pusat Sumber Sekolah” di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan

Oleh Azwana Ab. Rahman dan Mohd Dasuki Sahak

Seremban, 15 September - Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Penyampaian Hadiah Minggu Pusat Sumber Sekolah di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan disambut meriah dengan acara penyampaian hadiah, persembahan sajak serta nyanyian lagu patriotik.

Majlis yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, SDAR telah dirasmikan oleh Pengetua SDAR, Encik Roslie Ahmad. Turut hadir adalah barisan kepimpinan SDAR dan lebih 100 orang pelajar. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Muzaffar Shah Kassim, Ketua Pustakawan dan lapan (8) pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kunjungan pihak PSAS ke SDAR merupakan salah satu aktiviti bagi program jaringan kerjasama khidmat masyarakat antara SDAR dan PSAS yang telah dimulakan pada tahun 2019. Pada tahun ini, Pustakawan PSAS telah diberi kepercayaan oleh pihak SDAR sebagai juri bagi empat pertandingan Minggu Pusat Sumber iaitu Pertandingan Sudut Bacaan Nilam Kelas, Kuiz Literasi Maklumat, Pertandingan Poster Digital-Kempen Membaca "Read@SDAR": Today A Reader Tomorrow a Leader, dan Pertandingan Ulasan Buku (format video).

Pada program tersebut, Ketua Pustakawan telah berbesar hati menyumbang piala pusingan “Pertandingan Sudut Bacaan Nilam Kelas” bagi kategori Menengah Atas dan Menengah Bawah. Beliau juga diberi penghormatan oleh pihak SDAR untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi Pertandingan “Minggu Pusat Sumber Sekolah”.

Minggu Pusat Sumber Sekolah (MPSS) merupakan program tahunan SDAR. Selain bertujuan mempromosikan Pusat Sumber Sekolah, MPSS juga diharap dapat menarik lebih ramai pelajar untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca melalui pelbagai bahan bacaan yang berkualiti dalam kalangan pelajar SDAR. Melalui program ini, pelajar diberi peluang untuk menonjolkan bakat serta kemahiran insaniah melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam suasana norma baharu.

Ketua Pustakawan PSAS, Encik Muzaffar Shah Kassim menyampaikan hadiah kepada Juara Pertandingan Sudut Bacaan Nilam Kelas dengan diiringi Pengetua SDAR, Encik Roslie Ahmad.

 

Encik Muzaffar Shah Kassim dan Encik Roslie Ahmad melawat pameran hasil kreativiti pelajar bagi Pertandingan Minggu Pusat Sumber.

 

Cik Norhazura Hamzah dan Encik Mohd Dasuki Sahak sedang menjalankan penjurian bagi Pertandingan Sudut Bacaan Nilam Kelas bagi kategori Menengah Rendah.

Encik Muizzudin Kaspol dan Encik Mohd Afiq Rusly, Pustakawan PSAS sedang  menjalankan penjurian bagi Pertandingan Sudut Bacaan Nilam Kelas bagi kategori Menengah Atas.

Tarikh Input: 02/10/2020 | Kemaskini: 08/03/2021 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
CULeHAu:07:52