PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT PSAS @SK SG JUDAH (A), PULAU CAREY | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT PSAS @SK SG JUDAH (A), PULAU CAREY

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT PSAS @SK SG JUDAH (A), PULAU CAREY

Oleh: Erni Suraya Abd Aziz dan Hazlindah Basiron

 

KUALA LANGAT, 19 September - Buat julung kalinya, Jawatankuasa Pustakawan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menganjurkan Program Jaringan Khidmat Komuniti  dengan Sekolah Kebangsaan Sg. Judah (A), Pulau Carey, Klang.

Ketibaan fasilitator telah disambut oleh Tuan Guru Besar, Encik Samsul Fadilah bin Asmara  bersama guru-guru dan diserikan dengan persembahan tarian Sewang oleh pelajar SK Sg. Judah (A) yang mana merupakan tradisi turun temurun dipersembahkan bagi tujuan meraikan majlis menyambut tetamu oleh orang asli Mah Meri.

Puan Morni Yati Ibrahim selaku Timbalan Ketua Pustakawan Kanan telah merasmikan program ini.  Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap agar Program Jaringan Khidmat Komuniti yang diadakan ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat melalui pendidikan serta  jalinan kerjasama antara pihak sekolah dan universiti membuktikan betapa pentingnya kolaborasi dalam mencapai matlamat yang sama iaitu untuk mencorak masa depan yang lebih cerah.

Antara aktiviti yang telah diadakan sepanjang program ini ialah aktiviti play n learn di mana pelajar bermain sambil belajar. Menurut Pengarah Program, Encik Khairil Ridzuan Khahirullah, aktiviti play and learn ini memfokuskan sesi pembelajaran dan permainan 3M dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Kira-kira 70 orang murid yang terdiri daripada tahap 1 dan 2 telah mengikuti aktiviti ini dengan pengisian aktiviti seperti mengeja berdasarkan gambar, kuiz mengira, teka teki dan kuiz soalan umum.

Selain daripada itu, pusat sumber sekolah juga turut diceriakan dengan  menyusunatur semula bahan bacaan dan rak mengikut koleksi-koleksi yang dibangunkan.

Di akhir program, satu sesi perkongsian ilmu telah diadakan bersama dengan guru pusat sumber berkaitan portal e-Nilam. Portal e-Nilam ini telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Pustakawan bagi memudahkan penyimpanan rekod bacaan pelajar dan pemantauan prestasi bacaan murid.

Semoga usaha murni ini dapat menarik minat pelajar untuk menguasai 3M dan menjadikan sekolah satu tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu. Terima kasih diucapkan kepada warga PSAS dan SK Sg. Judah (A) yang terlibat kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan program CSR ini.

 

Ketibaan para pegawai PSAS UPM telah disambut dengan persembahan tarian oleh para murid dari suku asli Mah Meri SK Sg Judah (A).

 

Perasmian Program oleh Puan Morni Yati Ibrahim, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (Perkhidmatan) PSAS

 

Aktiviti Play & Learn

 

Bergambar kenangan bersama dengan guru-guru SK Sg Judah (A)

Tarikh Input: 10/10/2023 | Kemaskini: 10/10/2023 | j_mohdshahril

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEcTA1~