Program Khidmat Komuniti Bantu Tingkat Literasi Maklumat Dan Kreativiti Murid | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Program Khidmat Komuniti bantu tingkat literasi maklumat dan kreativiti murid

Program Khidmat Komuniti bantu tingkat literasi maklumat dan kreativiti murid

Oleh Mohd Dasuki Sahak dan Muizzudin Kaspol
Foto oleh Mohd Izarudin Idris

 

SERDANG, 22 OGOS - Pada tahun ini, genap lima tahun Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) mengadakan program khidmat komuniti dengan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan sejak tahun 2019. Sepanjang lima tahun, pelbagai aktiviti telah diadakan di bagi meningkatkan literasi maklumat, motivasi dan kreativiti dalam kalangan murid-murid SDAR.

“Program khidmat komuniti dengan pihak SDAR selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu melestarikan ekosistem jaringan industri dan masyarakat dengan memberi sumbangan bermakna kepada komuniti melalui aktiviti perkongsian ilmu seperti bengkel, lawatan dan sesi interaktif bersama murid-murid dan guru-guru SDAR”, kata Penasihat Program Perkembangan Komuniti PSAS, Cik Haslina Abu Seman dalam Majlis Pembukaan Program Khidmat Komuniti di UPM.

Manakala, pihak SDAR juga amat berterima kasih dengan program yang diadakan, Guru Perpustakaan dan Media SDAR, Puan Zalita Binti Md Lassim berkata, “Murid-murid SDAR sangat bertuah pada hari ini kerana diberi peluang melawat universiti walaupun masih di bangku sekolah, dan berharap semua murid memanfaatkan peluang yang diperolehi sepanjang berada di UPM”.

Tambah beliau lagi, “Sebagai sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi, PSAS dianggap sebagai “Rakan Strategik” oleh pihak SDAR yang mampu membantu memacu kecemerlangan murid-murid melalui aktiviti perkongsian ilmu yang diadakan khusus kepada murid-murid SDAR”, kata beliau.

Pengerusi Program Khidmat Komuniti SDAR, Encik Muizzudin Kaspol, berkata kejayaan program pada kali ini merupakan hasil usaha dan komitmen bersepadu daripada semua ahli jawatankuasa, “Program dirancang sejak awal tahun dan beberapa siri perjumpaan diadakan bagi membincangkan modul aktiviti keilmuan yang interaktif dan bersesuaian dengan murid-murid”, kata beliau.

Selain aktiviti yang diadakan oleh ahli jawatankuasa, pihak PSAS juga mengadakan kerjasama dengan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK). Muizzudin Kaspol berkata, “Sinergi dengan dua buah Pusat Tanggungjawab ini memberi nilai tambah kepada program khidmat komuniti yang dianjurkan oleh pihak PSAS”.

Jelas beliau lagi, “ Dua orang Pegawai Teknologi Maklumat daripada Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), UPM dijemput sebagai fasilitator bagi mengendalikan “Bengkel Asas Aplikasi Canva” dan pihak FBMK sudi menerima lawatan daripada murid SDAR ke Muzium Seni Warisan Melayu, UPM”, katanya. 

Program Khidmat Komuniti Di SDAR

Seramai 15 orang pegawai PSAS telah mengunjungi SDAR bagi mengadakan “Bengkel Asas Pengurusan Pusat Sumber Sekolah” dan “Sesi Interaktif Literasi Maklumat” pada 15hb Ogos 2023 yang lalu, sempena dengan pelancaran Minggu Pusat Sumber SDAR.

Bengkel Asas Pengurusan Pusat Sumber Sekolah disertai oleh pengawas pusat sumber SDAR bagi mempelajari asas menguruskan bahan perpustakaan yang merangkumi topik pengkelasan, pengkatalogan dan nombor panggilan. Manakala program Sesi Interaktif Literasi Maklumat yang disertai oleh semua murid tingkatan tiga, berjumlah seramai 163 orang. Murid dibahagikan kepada lapan kumpulan mengikut nama rumah sukan dan pengetahuan murid mengenai kemerdekaan, Perpustakaan Tun Husin On, SDAR dan maklumat sejarah SDAR diuji dengan kuiz secara spontan dan permainan explorace.

Program Khidmat Komuniti Di UPM pada 22hb Ogos 2023

Pada 22hb Ogos 2023, seramai 30 orang murid dan empat guru pengiring SDAR hadir melawat ke UPM sebagai lawatan balas. Terdapat tiga program utama yang diadakan oleh pihak PSAS iaitu Bengkel Asas Aplikasi Canva, Sesi Interaktif Lawatan Berpandu dan Sesi Lawatan Sambil Belajar ke Muzium Seni Warisan Melayu.

Bagi Bengkel Asas Aplikasi Canva, murid dan guru pengiring mempelajari kaedah asas menggunakan Aplikasi Canva bagi menghasilkan poster, banting, risalah dan slaid pembentangan dengan cara yang mudah, menarik dan kreatif. Melalui bengkel ini, peserta berpeluang menggunakan Aplikasi Canva (Education License) yang mempunyai pelbagai fungsi  dan modul tambahan. Sebagai tugasan bengkel, semua murid diminta menghasilkan poster berkaitan kemerdekaan dan enam poster dipilih sebagai poster terbaik.

Seterusnya adalah Sesi Interaktif Lawatan Berpandu dengan murid-murid dibawa melawat ke ruang perpustakaan. Pegawai perpustakaan menerangkan setiap perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di PSAS dan kuiz diajukan secara spontan kepada murid-murid bagi mewujudkan sesi dua hala wujud antara murid dan pegawai perpustakaan.

Akhir sekali adalah Sesi Lawatan Sambil Belajar ke Muzium Seni Warisan Melayu, di FBMK UPM. Sesi rombongan diberi penerangan mengenai bahan pameran seperti seni binaan tradisional, manuskrip Melayu, busana dan tekstil, senjata dan alat tempur dan peralatan dan isi rumah Melayu.

 

 PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI DI SDAR PADA 15HB OGOS 2023

Pengawas-Pengawas Pusat Sumber sedang mengikuti Bengkal Asas Pengurusan Pusat Sumber Sekolah

Fasilitator Bengkel, Puan Noor Syafini Zamani sedang menerangkan tentang kaedah pengurusan bahan perpustakaan.

 

Pihak Jawatankuasa sempat mengadakan gotong royong ringkas menceriakan ruang bacaan pusat sumber.

Pengerusi Program Pengembangan Komuniti,  Encik Muizzudin Kaspol dengan diiringi Guru Perpustakaan dan Media SDAR, Puan Zalita Binti Md Lassim menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Bengkel Asas Pengurusan Pusat Sumber Sekolah.

 

Suasana Meriah Sesi Interaktif Literasi Maklumat yang disertai oleh murid-murid tingkatan tiga

 

Sesi Interaktif Literasi Maklumat

 

Puan Zalita Binti Md Lassim  menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Puan Morni Yati Ibrahim sebagai tanda penghargaan di atas program kerjasama yang diadakan dengan pihak PSAS.

Puan Zalita Binti Md Lassim menyampaikan Sijil Fasilitator kepada Encik Muizzudin Kaspol sebagai tanda penghargaan kepada pegawai PSAS yang mengendalikan aktiviti kepada murid-murid SDAR.

 

PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI DI UPM PADA 22HB OGOS 2023

Ucapan aluan oleh Penasihat Program Perkembangan Komuniti PSAS, Cik Haslina Abu Seman semasa Majlis Pembukaan Program Khidmat Komuniti di UPM.

Ucapan oleh Puan Zalita Binti Md Lassim.

 

Murid-murid dan guru SDAR sedang mengikuti Bengkel Asas Aplikasi Canva

 

Pembentangan poster kemerdekaan yang dihasilkan murid SDAR

Penyampaian cenderhati kepada fasilitator oleh Timbalan Pengerusi Program Pengembangan Komuniti Cik Nazibah Kamarudin kepada Ts. Saiful Ramadzan Hairani, Pegawai Teknologi Maklumat, UPM

 

Sesi Interaktif Lawatan Berpandu di sekitar ruang perpustakaan

 

Murid-murid sedang mendengar penerangan mengenai bahan-bahan artifak

Semua pelawat teruja menyaksikan demontrasi keris berdiri di Muzium Seni Warisan Melayu, UPM

 

Murid SDAR berpeluang mencuba tanjak yang terdapat di Muzium Seni Warisan Melayu, UPM

Delagasi lawatan SDAR bergambar di hadapan rumah tradisional Melayu di FBMK

Tarikh Input: 04/10/2023 | Kemaskini: 04/10/2023 | j_mohdshahril

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEcPAh~