Majlis Perasmian Anjung Ilmu Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) Dan Bual Bicara: Menelusuri 50 Tahun UPM Sempena Sambutan Jubli Emas UPM | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Majlis Perasmian Anjung Ilmu Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dan Bual Bicara: Menelusuri 50 Tahun UPM sempena Sambutan Jubli Emas UPM

Majlis Perasmian Anjung Ilmu Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dan Bual Bicara: Menelusuri 50 Tahun UPM sempena Sambutan Jubli Emas UPM

Oleh: Pechai A/P Sivakumaran, Selena John Kennedy, Mohd Dasuki Sahak dan Nurraihan Abdul Azit

 

Tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Anjung Ilmu.

 

Serdang, 18 Dis – Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM telah mengadakan Majlis Perasmian Anjung Ilmu pada 13 Disember 2021 dengan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU), YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail. Turut dihadiri, Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Ketua Pustakawan UPM, Encik Muzaffar Shah Kassim, Pegawai Kanan UPM, kakitangan dan para pelajar.

Majlis ini bertujuan memperkenalkan Anjung Ilmu kepada warga UPM dengan dimulakan dengan acara memotong reben majlis oleh YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail. Kemudian, diikuti dengan lawatan ke ruang Anjung Ilmu bersama ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

 

Majlis pemotongan reben oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU), YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

 

Majlis ini diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘NegaraKu’, Lagu UPM ‘Putra Gemilang’, bacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pustakawan UPM, Encik Muzaffar Shah Kassim. Dalam ucapan beliau, Encik Muzaffar Shah Kassim memaklumkan bahawa Anjung Ilmu adalah projek kerjasama antara PSAS, UPM dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN). Beliau berkata dana permulaan projek adalah sumbangan daripada WAZAN dan selebihnya daripada hasil usaha penjanaan pendapataan melalui penganjuran kursus berbayar, perkhidmatan perundingan, sewaan ruang, perkhidmatan percetakan ‘JomPrint’ dan sebagainya. Beliau juga menerangkan bahawa ruang lantai Anjung Ilmu ini berukuran kira-kira 1,677 meter persegi dengan konsep reka bentuk dalaman ‘Learning Common’, persekitaran pembelajaran santai dan moden yang digemari oleh generasi kini.

Manakala dalam ucapan perasmian, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail teruja dengan transformasi yang telah dilakukan selepas 50 tahun yang lalu dan berbesar hati mengumumkan untuk menyampaikan sumbangan sebanyak RM 5,000.00 sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan alumni UPM turut menyumbang. Akhir sekali, kemuncak majlis perasmian ini adalah menandatangani plak perasmian Anjung Ilmu, diikuti dengan persembahan multimedia yang mengandungi gambar-gambar sebelum dan selepas transformasi projek.

 

Acara menandatangani plak Anjung Ilmu oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

 

Selepas itu, majlis berhenti rehat sebentar bagi jamuan minum pagi dan diserikan dengan dua tarian tradisional Melayu dan tiga persembahan nyanyian oleh pelajar-pelajari dari Kolej Canselor, UPM.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi ‘Bual Bicara: Menelusuri 50 Tahun UPM’. Dua ahli panel dijemput iaitu YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman. Manakala, Prof. Dato’ Dr. Muat’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM bertindakan sebagai moderator.

Semasa sesi, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkongsi pengalaman sebagai pelajar UPM pada masa lalu. Beliau juga menyatakan bahawa hubungan pelajar dan kakitangan akademik perlu lebih digiatkan untuk menghasilkan graduan yang berkualiti dalam persekitaran kerja untuk masa depan. Sebuah universiti meletakkan peranan yang besar dalam membentuk kehidupan pelajar sebagai “Universiti dapat membentuk pelajar ke arah untuk menjadi ejen transformasi bagi masyarakat”.

Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman pula berkongsi pandangan beliau terhadap perubahan tingkah laku pembelajaran pelajar daripada generasi terdahulu ketika UPM masih dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia.

Secara keseluruhan, perbincangan ini menyimpulkan bahawa satu perkara penting adalah bilangan graduan berkualiti yang dihasilkan oleh universiti sebagai saksi ejen transformasi selain hanya memberi tumpuan kepada kedudukan QS universiti.

 

Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman semasa sesi Bual Bicara.

 

Majlis diakhiri dengan penyampaian buku foto dan cenderahati oleh Encik Muzaffar Shah Kassim sebagai tanda penghargaan kepada ahli panel dan moderator. Diharapkan pelajar dan kakitangan UPM mendapat manfaat daripada transformasi Anjung Ilmu ini.

Tarikh Input: 11/01/2022 | Kemaskini: 11/01/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXFTHAj~