Kongsi Kepakaran Kepustakawanan Dalam Program Kunjung Ilmu PSAS | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Kongsi Kepakaran Kepustakawanan dalam Program Kunjung Ilmu PSAS

Kongsi Kepakaran Kepustakawanan dalam Program Kunjung Ilmu PSAS

Oleh Norfaezah Khomsan

 

Serdang, 5 Oktober - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM telah berkongsi kepakaran ilmu kepustakawanan melalui Program Kunjung Ilmu PSAS. Menerusi program ini, PSAS yang telah menerima kunjungan daripada  barisan Pengawas Pusat Sumber dan Guru Pusat Sumber SMK Sultan Sulaiman Kuala Terengganu, berjaya menjadikan platform ini sebagai medan perkongsian ilmu yang interaktif di kalangan pelajar sekolah dan pustakawan.

“Program ini adalah salah satu ikhtiar PSAS menyokong Pelan Strategik UPM dalam melestarikan ekosistem jaringan industri dan masyarakat dengan memberi sumbangan bermanfaat kepada komuniti melalui aktiviti perkongsian ilmu yang akhirnya memberi impak di dalam komuniti guru dan pelajar apabila mereka mengaplikasikannya kelak”, ujar Puan Nur Azleen Hasan selaku Pengerusi Program Kunjung Ilmu PSAS.

 

Bergambar kenangan peserta Kunjung Ilmu SMK Sultan Sulaiman bersama Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Cik Haslina Abu Seman@Talib dan urusetia program

 

Di awal program ini berlangsung, peserta telah didedahkan dengan kemudahan dan koleksi PSAS sebagai penyedia sumber maklumat di UPM. Sesi kemudian diteruskan dengan perkongsian tiga (3) modul pembelajaran utama yang dipilih iaitu Modul Pencarian Maklumat, Modul Pengkelasan dan Pengkatalogan, dan Modul Promosi Perpustakaan. Sesi pertama dimulai dengan Modul Pencarian Maklumat, kendalian Pustakawan Kanan Bahagian Rujukan, Puan Fazlin Shamsudin mengupas strategi pencarian maklumat secara dalam talian dan pencarian bahan perpustakaan.

 

Pustakawan Penghubung Fakulti berkongsi tips dan teknik pencarian maklumat yang tepat dan pantas.

 

Seterusnya, melalui Modul Pengkelasan dan Pengkatalogan, para pelajar telah diberi kefahaman kepentingan pengurusan sumber perpustakaan secara sistematik yang dapat membantu memudahkan akses kepada bahan. Sesi yang dikendalikan oleh Pustakawan Kanan Bahagian Perkhidmatan Pengguna, Y.M. Raja Norazlinda Raja Azenam ini termasuk sistem pengkelasan Dewey Decimal Classification yang biasanya digunakan di sekolah-sekolah bagi mengkelaskan bahan monograf.

 

Pustakawan UPM membimbing Pengawas Pusat Sumber Sekolah untuk pengkelasan dan penyusunan buku

 

Perkongsian diteruskan lagi dengan modul terakhir iaitu Aktiviti Promosi Perpustakaan. Menerusi sesi ini, pustakawan Bahagian Sistem dan Teknologi Maklumat, Encik Mohamad Amirul Iqhmal Mohamad Badrul Zaman telah menerangkan teknik promosi pusat sumber sekolah dan perisian-perisian percuma masa kini yang boleh diaplikasikan oleh para pelajar dalam membantu aktiviti promosi pusat sumber.

 

Perkongsian teknik promosi bagi meningkatkan penggunaan Pusat Sumber dan menggalakkan aktiviti literasi maklumat

 

Pengisian Program Kunjung Ilmu diteruskan dengan lawatan berpandu di sekitar kawasan PSAS. Para peserta telah dibawa merasai sendiri pengalaman sebagai mahasiswa UPM dengan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan seperti Bilik Komputer, Bilik Karel dan Ruang Bacaan Digital disamping peluang untuk membuat carian bahan di rak koleksi utama PSAS. Program ini adalah diharap dapat menjadi platform kepada perpustakaan untuk mendekati komuniti sekolah, selain daripada pemindahan ilmu antara PSAS dan komuniti.

 

Sekitar aktiviti lawatan berpandu di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM

 

Sekitar aktiviti lawatan berpandu di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM

 

Sekitar aktiviti lawatan berpandu di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM

 

Tarikh Input: 17/10/2023 | Kemaskini: 17/10/2023 | j_mohdshahril

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEcTAl~