Oleh: Roslan Ariffin (Ketua Bahagian Rujukan), Norazira Mohamed & Najah Mohd Ali (Pustakawan Kanan, Bahagian Rujukan)
SERDANG, 25 April: Kelas Pangkalan Data yang dianjurkan oleh Bahagian Rujukan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah berlangsung secara dalam talian selama dua minggu bermula 14 hingga 25 April 2025. Sebanyak 10 sesi kelas telah dijalankan menggunakan platform Google Meet dan berjaya menarik penyertaan seramai 193 peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program ini bertujuan membina kemahiran dalam penggunaan pangkalan data secara cekap dan berkesan untuk membantu proses pembelajaran, pengajaran serta penyelidikan. Antara pangkalan data yang diperkenalkan ialah Scopus, Science Direct, ProQuest, Nature Journals dan banyak lagi. Setiap sesi telah dikendalikan oleh fasilitator profesional daripada pihak penyedia pangkalan data itu sendiri.
Majoriti peserta merupakan pelajar pascasiswazah dengan jumlah kehadiran tertinggi iaitu 148 orang, diikuti oleh pegawai bukan akademik seramai 38 orang. Penilaian program menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan apabila 100% peserta memberikan skor kepuasan pelanggan pada skala 4 dan 5 bagi setiap item yang dinilai termasuk ketertiban kelas, keberkesanan penyampaian, serta kebermanfaatan kandungan modul.
Antara maklum balas positif yang diterima termasuk cadangan agar bahan pembentangan diedarkan sebelum kelas dan rakaman sesi disediakan untuk rujukan. Ada juga peserta yang berharap program seperti ini diteruskan dengan lebih banyak pengisian mengenai teknik carian jurnal dan aplikasi praktikal dalam penulisan ilmiah.
Penganjuran kelas ini merupakan manifestasi komitmen PSAS dalam menyokong hala tuju strategik True North UPM, khususnya dalam memperkukuh budaya celik maklumat dan memartabatkan ekosistem akademik universiti. Inisiatif ini membuktikan keprihatinan PSAS dalam menyampaikan perkhidmatan yang responsif, inovatif dan menyeluruh, selaras dengan aspirasi UPM untuk menjadi universiti bereputasi global yang unggul dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Kelas ini telah diselaraskan oleh Puan Norazira Mohamed dan disemak oleh Ketua Bahagian Rujukan, Encik Roslan Ariffin. PSAS merancang untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini secara berkala demi memperkukuh literasi maklumat dalam kalangan warga kampus secara berterusan.
|
Jadual Kelas Pangkalan Data |
![]() |
Tarikh Input: 29/10/2025 | Kemaskini: 29/10/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)