UPM CAREER & FUTUREPRENEUR FESTIVAL 2026 PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN DAN KEUSAHAWANAN MAHASISWA | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD lib
» BERITA » UPM CAREER & FUTUREPRENEUR FESTIVAL 2026 PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN DAN KEUSAHAWANAN MAHASISWA

UPM CAREER & FUTUREPRENEUR FESTIVAL 2026 PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN DAN KEUSAHAWANAN MAHASISWA

Oleh: Nur Azwani Syuhadah Abdul Halil & Norazira Mohamed

Serdang, 20 Mei - Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan “UPM Career & Futurepreneur Festival (CFF)” 2026 di Perpustakaan Sultan Abdul Samad.

Program ini terbukti memberikan impak besar terhadap penanda aras universiti apabila rekod pencapaian menunjukkan peningkatan kualiti pasaran graduan. Yang Berbahagia Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam ucapan perasmiannya berkata “Peratusan graduan UPM yang bekerja di syarikat multinasional meningkat daripada 13.5 peratus kepada 19 peratus pada tahun 2025. Pencapaian ini memenuhi penanda aras universiti dan selari dengan aspirasi UPM untuk menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa”.

Beliau turut menambah bahawa “inisiatif inklusif seumpama ini sangat membantu membentuk pengalaman kehidupan kampus serta memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa sebelum bergraduat, katanya”.

Dalam majlis perasmian juga, sebanyak 11 Anugerah Kebolehpasaran Graduan UPM 2025 telah disampaikan oleh Naib Canselor kepada fakulti-fakulti yang mencatatkan kecemerlangan berdasarkan data Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengarah CEM, Profesor Madya Dr. Hizmawati Madzin; Pengarah WAZAN UPM, Tn. Hj. Haris Dahlan; wakil PSAS, Encik Mohd Dasuki Sahak; serta Pengerusi Koperasi Keusahawanan Siswa UPM Berhad, Muhammad Nik Baihaqi Taiki bersama barisan dekan fakulti UPM.

Sepanjang festival berlangsung, para peserta didedahkan dengan modul pembangunan holistik menerusi penganjuran 10 sesi program interaktif perkongsian ilmu serta pameran keusahawanan yang melibatkan pelibatan vendor dalam kalangan pelajar dan alumni UPM.

Diharapkan penganjuran festival bertaraf industri seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai graduan unggul beraspirasi keusahawanan yang berdaya saing di peringkat domestik mahupun global.

 

Foto 1: Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menandatangani plak gimik sebagai simbolik perasmian UPM Career & Futurepreneur Festival (CFF) 2026.

 

Foto 2: Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menyampaikan ucapan perasmian di hadapan para tetamu dan mahasiswa yang hadir.

 

Foto 3: Sesi penyampaian Anugerah Kebolehpasaran Graduan UPM 2025 kepada wakil fakulti yang mencatatkan pencapaian cemerlang dalam Kajian Pengesanan Graduan.

 

 

Foto 4: Suasana meriah di pekarangan perpustakaan dengan kunjungan pengunjung ke gerai jualan usahawan siswa dan alumni UPM sepanjang festival berlangsung.

 

 

Tarikh Input: 11/08/2026 | Kemaskini: 11/08/2026 | rozainijumadi

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
X, (03:30:14am-03:35:14am, 25 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]