Oleh: Rabiatul Adawiyah binti Sheh Hazlee (Pelajar Latihan Industri PSAS, UPM)
Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan “nadir” sebagai sesuatu yang jarang ditemui atau bersifat ganjil. Dalam konteks perpustakaan, “koleksi nadir” merujuk kepada bahan terbitan lama yang lazimnya diterbitkan sebelum tahun 1900 dan sukar diperoleh semula kerana telah pun habis cetakan atau tidak lagi diterbitkan. Demi tujuan pemuliharaan, bahan-bahan ini lazimnya ditempatkan di lokasi khas bagi memastikan ia kekal boleh diakses oleh generasi akan datang.
Sebagai sebuah institusi penyelidikan terkemuka dengan akar sejarah yang kukuh dalam bidang pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah proaktif menerusi Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dalam memelihara khazanah ilmiah ini. Inisiatif yang digerakkan oleh Bahagian Sumber Pertanian Malaysia (BSPM) telah menzahirkan Koleksi Nadir Pertanian, iaitu satu usaha penting dalam menghimpun bahan terbitan lebih 50 tahun lalu yang kini jarang ditemui di pasaran.
Sehingga kini, lebih 300 judul buku nadir pertanian telah berjaya dikumpulkan. Koleksi ini merangkumi bahan-bahan yang diterbitkan sekitar tahun 1950-an atau lebih awal dan boleh diakses secara fizikal di ruang khas Koleksi Nadir di Pejabat Bahagian Sumber Pertanian Malaysia (BSPM), Aras 2, Blok B, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS). Nilai ilmiah koleksi ini sangat signifikan kerana ia bukan sekadar menyimpan sejarah pertanian, malah mencerminkan evolusi strategi dan dasar pembangunan negara negara dari era terdahulu hingga kini. Ia menghimpunkan dokumen berharga seperti panduan awal penanaman getah, padi dan kelapa sawit, catatan pembangunan luar bandar, serta hasil penyelidikan agronomi tempatan yang menjadi asas kepada inovasi semasa. Koleksi ini membuka jendela kepada kefahaman yang mendalam tentang bagaimana pertanian telah membentuk struktur sosial dan ekonomi sesebuah negara.
Lebih daripada sekadar rujukan sejarah, koleksi ini mempunyai nilai praktikal yang relevan dalam dunia hari ini. Dengan isu global seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, dan keperluan terhadap sistem makanan yang lestari, pendekatan pertanian tradisional yang direkodkan dalam koleksi ini kini diteliti semula sebagai alternatif berasaskan komuniti dan mesra alam. Ia memberi peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk mengintegrasikan ilmu lampau ke dalam solusi kontemporari yang lebih mampan dan inklusif.
Kekuatan koleksi ini juga terletak pada potensinya untuk memacu penyelidikan rentas disiplin. Ia bukan sahaja berguna dalam bidang agronomi dan sains pertanian, malah relevan dalam kajian sosiologi luar bandar, pembangunan dasar awam, dan pengkajian warisan budaya. Koleksi ini membolehkan penyelidik menelusuri hubungan antara tanah, masyarakat, dan kuasa politik dalam membentuk lanskap pertanian negara.
Untuk mengakses koleksi ini, pengguna boleh menyemak senarai judul melalui sistem KOHA WebOPAC . Permohonan rujukan boleh dibuat melalui secara dalam talian melalui Borang Permohonan Rujukan Koleksi Nadir. Selepas mengisi borang permohonan dalam talian, pengguna akan menerima maklum balas melalui e-mel. Setelah borang diisi, pengguna akan menerima maklum balas melalui e-mel. Bagi permohonan yang diluluskan, rujukan fizikal boleh dibuat di Bahagian Sumber Pertanian Malaysia pada Isnin hingga Jumaat, dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Secara keseluruhannya, Koleksi Nadir Pertanian merupakan satu usaha penting dalam memelihara dan memanfaatkan khazanah ilmiah negara. PSAS mengalu-alukan pelajar, pensyarah, penyelidik dan komuniti untuk menjelajah dan menggali semula ilmu lampau sebagai asas membina masa depan yang lebih mampan. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Sumber Pertanian Malaysia.
RUJUKAN
Tarikh Input: 03/07/2025 | Kemaskini: 03/07/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)