Bual Bicara Inspirasi: Kejayaan Dan Ketabahan | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Bual Bicara Inspirasi: Kejayaan dan Ketabahan

Bual Bicara Inspirasi: Kejayaan dan Ketabahan

Oleh: Haslawati H.Maamor

Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia terus komited memupuk budaya ilmu dan pembangunan insan menerusi penganjuran dua program bual bicara inspirasi sempena pameran “Exploring Self-Improvement and Resolutions” pada Ogos 2025. Kedua-dua program ini menampilkan tokoh berpengalaman daripada latar berbeza yang berkongsi kisah kejayaan, cabaran hidup serta nilai ketekunan sebagai sumber motivasi kepada warga universiti dan masyarakat.

Program pertama, “Berkarya di Menara Ilmu: Inspirasi dari Seorang Pejuang Palsi Serebrum”, diadakan pada 25 Ogos 2025 di Bilik Pameran PSAS. Program ini menampilkan Dr Mastura Mahamed, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, yang berkongsi perjalanan hidup beliau sebagai seorang ahli akademik yang berhadapan dengan palsi serebrum. Perkongsian beliau menekankan kekuatan dalaman, keazaman tinggi serta sokongan ekosistem inklusif dalam dunia pendidikan. Dikendalikan oleh Puan Nur Syafinaz Mohd Noh, sesi ini memberi pendedahan bermakna tentang potensi luar biasa individu berkeperluan khas serta kepentingan empati dan keterangkuman dalam pembinaan masyarakat berpengetahuan. Satu pengalaman yang menyentuh jiwa dan menyedarkan bahawa setiap individu mempunyai potensi luar biasa untuk berjaya. Kisah ketabahan Dr Mastura Mahamed menjadi cerminan bahawa dengan keyakinan, sokongan dan keazaman, keterbatasan mampu ditukar menjadi kekuatan.

Program kedua, “Bual Bicara Inspirasi: 3 Wajah di Sebalik Kejayaan”, berlangsung pada 26 Ogos 2025 di Anjung Ilmu, PSAS. Program ini menampilkan tiga tokoh berprofil tinggi iaitu Dato’ Haji Mohd Zain Hassan, Mantan CEO Alam Flora Sdn Bhd; Dato’ Jalaluddin Hassan, pengacara dan pelakon tersohor; serta Prof. Madya Dr. Abd Rauf Hassan, Ketua Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Melalui latar kerjaya yang berbeza, para panel berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam membina kejayaan, kepimpinan, disiplin diri dan nilai integriti. Sesi ini dikendalikan oleh Encik Muhammad Aidil Fazli Samsuri dan dijalankan secara penstriman langsung bagi capaian lebih luas.

Sebahagian ahli panel berkongsi pengalaman memulakan perjalanan hidup dan kerjaya dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi peluang, keyakinan diri atau sokongan. Pengalaman ini membentuk sikap berdikari, kecekalan dan kesungguhan untuk membuktikan kemampuan diri. Mereka menegaskan bahawa latar belakang yang sederhana bukan penghalang kejayaan, malah menjadi pemangkin untuk bekerja lebih keras.

Dalam perjalanan hidup mereka, kegagalan menjadi pengalaman yang tidak dapat dielakkan. Ada yang pernah tersilap membuat keputusan atau melalui fasa kejatuhan emosi. Namun, ahli panel sepakat bahawa pengalaman inilah yang membuka ruang refleksi, memperbaiki kelemahan dan membentuk ketahanan diri. Kegagalan bukan dilihat sebagai aib, tetapi sebagai turning point yang membawa kepada kejayaan seterusnya.

Secara keseluruhan, kedua-dua program ini saling melengkapi dalam menyampaikan mesej pembangunan kendiri, daya tahan dan inspirasi merentas latar belakang. Inisiatif PSAS ini bukan sahaja memperkayakan wacana intelektual, malah mengukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat transformasi minda dan pemerkasaan komuniti.

Penganjuran kedua-dua program ini memberi kesan yang signifikan kepada peserta dan komuniti universiti secara keseluruhan. Program-program ini berjaya menyuntik inspirasi, kesedaran kendiri dan motivasi berpanjangan, khususnya kepada pelajar dan staf untuk melihat kejayaan dari pelbagai dimensi kehidupan. Perkongsian pengalaman sebenar oleh tokoh-tokoh jemputan membantu peserta memahami bahawa kejayaan bukanlah satu perjalanan yang mudah, tetapi dibentuk melalui ketekunan, disiplin, kegagalan dan keupayaan bangkit semula.

Selain itu, program ini turut meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian keupayaan dan inklusiviti, khususnya melalui kisah Dr Mastura Mahamed yang membuktikan bahawa kekangan fizikal bukan penghalang kepada kecemerlangan intelektual dan sumbangan bermakna dalam dunia akademik. Dari aspek pembangunan profesional, sesi bual bicara ini membuka ruang perkongsian ilmu merentas bidang, memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan pemikiran reflektif. Secara tidak langsung, program ini memperkukuh peranan PSAS sebagai hab ilmu, inspirasi dan transformasi diri, selari dengan aspirasi universiti melahirkan masyarakat berpengetahuan, berdaya saing dan berjiwa besar.

          

Tarikh Input: 16/12/2025 | Kemaskini: 17/12/2025 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
W, (11:33:25pm-11:38:25pm, 02 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]