Oleh: Syafiqah Nabilah Jamali (Pustakawan Bahagian Perkhidmatan Penyelidikan dan Maklumat)
Setiap perpustakaan semestinya mahu menarik masyarakat tak kira bangsa untuk sentiasa dekat dengan ilmu pengetahuan. Pelbagai cara dan program telah dilaksanakan untuk menarik minat masyarakat bagi menghidupkan perpustakaan kita. Namun, sayangnya programprogram yang dianjurkan perpustakaan kita sering kali tidak diketengahkan dan tidak diketahui oleh orang ramai.
Walaubagaimanapun, dengan adanya pengenalan agenda Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) oleh United Nations General Assembly (UNGA) pada tahun 2015, program-program yang telah dilaksanakan dapat diketengahkan di mata dunia! Bagaimanakah cara program kita dapat diketengahkan di mata dunia? Semestinya dengan melaksanakan program yang menyokong salah satu daripada 17 matlamat dan 169 sasaran SDG serta 247 indikator yang merangkumi lima bidang tumpuan: kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama.
Hasil program yang telah dilaksanakan boleh dilaporkan dalam SDG Stories yang dianjurkan oleh International Federation of Library Associations (IFLA) melalui laman sesawang Library Map of the World. Di samping dapat menaikkan keterlihatan perpustakaan kita di serata dunia, tujuan SDG Stories ini juga adalah untuk menunjukkan cara perpustakaan dan akses kepada maklumat, dapat menyumbang kepada hasil yang lebih baik merentasi semua SDG.
Siapa tahu dengan hasil laporan program kita, menjadi bukti yang dapat menarik minat pihak luar bekerjasama dengan kita. Janganlah kita seperti ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan yang membawa maksud khabar telah didengar namun buktinya belum ada. Peribahasa ‘sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau’ perlu dijadikan pegangan bagi mengecapi kejayaan. Dalam melaksanakan program, kita juga menaikkan nama perpustakaan kita di mata dunia. Maka, ketua projek atau program sangat digalakkan untuk melaporkan hasil program dalam SDG Stories di laman sesawang Library Map of the World sebagai wakil Perpustakaan Sultan Abdul Samad.
![]() |
| Satu cerita SDG telah dilaporkan daripada Malaysia dalam laman sesawang IFLA-Library Map of the World. |
Tarikh Input: 08/04/2025 | Kemaskini: 08/04/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)