Hebatnya Sedekah ‘Tangan Yang Memberi Lebih Baik Dari Yang Menerima’ | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Hebatnya Sedekah ‘Tangan yang Memberi Lebih Baik Dari Yang Menerima’

Hebatnya Sedekah ‘Tangan yang Memberi Lebih Baik Dari Yang Menerima’

Cerita Asal: Mohamad Jefri Mohamed Fauzi (Pustakawan Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber Digital)

Olahan: Nuraida Ibrahim (Pustakawan Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber Digital) dan Nurul Ainie Mokhtar (Pustakawan Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber Digital)

 

Rutin harian setiap pagi adalah menguruskan anak-anak untuk ke sekolah dan menghantar ke rumah pengasuh penjaga mereka sebelum bertolak ke pejabat untuk mencari sesuap rezeki bagi menyara keluarga. Setelah urusan anak-anak diselesaikan baru aku akan meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

Setibanya aku di tempat kerja baru aku perasan ada dua kali ‘missed calls’ terpapar di skrin telefon. “Oh, rupanya panggilan dari pengasuh anak, mungkin ada hal yang hendak diberitahu” kataku di dalam hati. Aku terus menghubungi kembali panggilan tersebut namun panggilanku tidak berjawab. Aku cuba memeriksa kembali telefon bimbitku jika ada menerima pesanan. Telahanku ternyata betul apabila aku melihat pesanan ringkas yang dihantar oleh pengasuh anakku memaklumkan aku terlupa menghantar botol susu anak perempuanku.

Aku segera bergegas balik untuk menghantar barang yang tertinggal dan setelah selesai aku kembali berpatah balik ke tempat kerja. Dalam perjalanan, aku perasan meter minyak motosikal menunjukkan tanda ‘E’ lalu aku singgah sebentar mengisi minyak di stesen yang berdekatan. Kebetulan pam minyak kesemuanya penuh, lalu aku memarkir motosikal di belakang sebuah kereta jenama Persona berwarna merah gelap. Aku bersabar menunggu giliran dan tiba-tiba aku terdengar suara pemilik kereta tersebut memanggil aku; “dik, minyak yang akak isi ni masih ada baki, adik sambunglah isi untuk motosikal adik” ujar pemilik kereta tersebut.

“Allah kak, susah-susah je akak ni” balasku sambil tersenyum dan mengucapkan terima kasih padanya yang berkongsi rezeki di pagi hari.

Terlihat satu kepuasan pada riak wajahnya.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, aku terfikir begitu banyak rupanya cara untuk kita bersedekah. Iktibar dari kisah ini, apabila kita memudahkan urusan orang lain, InsyaAllah urusan kita akan turut dimudahkan. Allah membuka peluang dan terpulang pada kita untuk mengambil atau tidak peluang yang diberikan. Allah berfirman:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun ; 10).

Sedekah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti dengan wang mahupun makanan yang diberikan kepada seseorang yang memerlukan. Hadith riwayat Abu Hurairah menjelaskan bahawa sedekah tidak akan mengurangi harta, dengan begitu makna yang tersirat adalah memperbanyakkan harta.

Allah tidak akan menahan rezeki bagi orang yang suka bersedekah, semakin banyak kita bersedekah maka semakin sering pula Allah memberikan rezeki. Abu Dzar pernah berkisah bahawa suatu hari sewaktu beliau berjalan bersama-sama Rasulullah SAW.

Tiba di sebuah tanah lapang di Madinah yang terlihat Bukit Uhud, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya, harta itu hijau dan manis. Barang siapa mengambilnya dengan kedermawanan hati, maka akan diberkahi; barang siapa mengambilnya dengan keserakahan, maka tidak akan diberkahi. (Jika tidak diberkahi, maka dia) seperti orang yang makan, tapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (diberi).” (Hadis Riwayat Muslim).

Tarikh Input: 14/03/2025 | Kemaskini: 14/03/2025 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
X, (12:05:48am-12:10:48am, 18 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]