Oleh: Norfaezah Khomsan dan Mohd Dasuki Sahak
Serdang, 2 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah mencipta sejarah dengan melancarkan Indeks Relevan Perpustakaan (IRP). Indeks ini diilhamkan oleh Naib Canselor, YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah bagi memastikan PSAS terus kekal relevan dalam mendepani cabaran perubahan semasa dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan, selaras dengan Kerangka True North UPM.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Naib Canselor dengan diiringi oleh Ketua Pustakawan dan Pegawai Pengurusan PSAS. Dalam ucapan perasmiannya, Naib Canselor berkata, “Pembangunan Indeks Relevan merupakan langkah proaktif Perpustakaan dalam mendepani ekosistem pendidikan tinggi yang kian mencabar”.
Naib Canselor turut mencadangkan agar penggunaan metrik dalam IRP diperkukuh secara dinamik. Katanya, "Saya berharap perpustakaan dapat menambah metrik yang bersifat dinamik dan mampu mengukur keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ilmu dan kepenggunaan, tanpa perlu mencipta metrik baharu dari semasa ke semasa".
Naib Canselor juga menyeru pustakawan UPM sentiasa bersikap peka dengan cabaran semasa. “Pustakawan perlu melalui proses unlearn, relearn dan co-learn untuk berperanan sebagai penggerak ilmu dan pemangkin perubahan”, katanya.
Naib Canselor menegaskan bahawa perpustakaan bukan sekadar tempat ulang kaji, malah lebih daripada itu. Katanya, “Pustakawan perlu menjadikan perpustakaan sebagai guardian of wisdom dan knowledge melalui usaha-usaha yang melangkaui jangkaan sehingga perpustakaan menjadi pusat rujukan dalam dan luar negara”.
Dalam ucapan aluannya, Ketua Pustakawan, Encik Mahbob Yusof berkata bahawa inisiatif IRP merupakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh peranan perpustakaan akademik. “Inisiatif ini menjadi titik tolak kepada transformasi yang lebih bermakna, menjadikan Perpustakaan bukan sahaja relevan, tetapi luar biasa dalam memacu kecemerlangan Universiti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan fungsi IRP sebagai metrik yang bersifat menyeluruh dengan berkata, ”IRP ialah metrik multidimensi yang mengukur keselarasan Perpustakaan UPM dengan keperluan akademik universiti”.
Tambah beliau, “IRP menjanjikan cabaran baharu dan berganjak daripada metrik tradisional (contohnya ‘bilangan buku’) kepada pandangan holistik tentang peranan perpustakaan akademik dalam memupuk pendidikan, ekuiti dan inovasi, ” katanya.
Indeks Relevan Perpustakaan yang dilancarkan ini dibangunkan berdasarkan lima teras utama, iaitu: sokongan terhadap penyelidikan dan kesarjanaan; koleksi yang relevan; teknologi dan inovasi; kepuasan serta keterlibatan pengguna; dan kolaborasi serta impak global. Kehadiran barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada majlis pelancaran turut mencerminkan penglibatan aktif mahasiswa dalam mendukung transformasi perkhidmatan perpustakaan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
![]() |
|
Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menandatangani plak pelancaran Indeks Relevan Perpustakaan sebagai simbolik perasmian, diiringi oleh Ketua Pustakawan UPM, Encik Mahbob Yusof (kiri), dan Penolong Pendaftar Kanan, Encik Fairulnizam Ismail. |
![]() |
| Barisan penulis buku Indeks Relevan Perpustakaan bersama Naib Canselor UPM. (Dari kiri: Encik Mohd Dasuki Sahak, Encik Fairulnizam Ismail, Encik Mahbob Yusof, Naib Canselor UPM, Puan Nur Azleen Hassan, dan Puan Norfaezah Khomsan). |
![]() |
| Simbolik penanaman pokok kopi oleh Naib Canselor UPM menjadi tanda kenangan yang turut melambangkan komitmen PSAS dalam menyokong inisiatif keterjaminan makanan di bawah agenda strategik UPM. |
![]() |
| Pegawai-pegawai PSAS berpeluang merakamkan gambar kenangan bersama Naib Canselor UPM selepas majlis pelancaran. |
Tarikh Input: 10/07/2025 | Kemaskini: 10/07/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)