Oleh: Muhammad Aqiff Hakimi bin Mohd Ghazali & Norazira Mohamed
Serdang, 13 April 2026 - Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui kerjasama Agrobank, Pusat Pertanian Putra (PPP) dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menganjurkan ”Bengkel Program Pembangunan Belia Tani di kalangan Siswazah (PROBEST)@UPM (Inkubator Baru)” dengan disertai seramai 25 orang pelajar prasiswazah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Mohd. Tarmizi bin Ishak, Ketua Bahagian Pentadbiran dan Perkhidmatan, Pusat Pertanian Putra UPM. Turut hadir ialah Puan Roziana Binti Mohammad, Section Head, Training and Development, Agrobank Centre of Excellence (ACE), Agrobank.
Menurut Encik Mohd. Tarmizi, “Pertanian merupakan sektor yang penting kerana ia menyumbang kepada sumber makanan asas negara dan saya berharap PROBEST mampu melahirkan semangat keusahawanan tani dalam kalangan pelajar yang terlibat”.
PROBEST melalui Agrobank Centre of Excellence dan PPP menyediakan tiga modul utama iaitu tanaman cili, tembikai susu serta ternakan burung puyuh. “Tanaman seperti cili dan tembikai susu berpotensi dijual pada harga yang premium, manakala ternakan burung puyuh pula mampu memberi pendedahan kepada asas kemahiran penternakan dan mampu menjadi Ilmu asas ini penting sekiranya pelajar ingin meneroka bidang penternakan lain pada masa hadapan”, jelas beliau.
Beliau juga berkongsi pengalaman program sebelum ini dengan berkata, “Antara cabaran utama pelaksanaan PROBEST pada Oktober 2023 ialah pengurusan penyertaan pelajar yang perlu menyeimbangkan komitmen akademik dengan aktiviti lapangan, termasuk keperluan memberi komitmen kepada kerja fizikal seperti mengurus 1,200 pokok cili serta menyelenggara dan menyembelih 2,000 ekor burung puyuh sepanjang program berlangsung.”
Dalam program ini, perpustakaan berperanan mendidik literasi maklumat dalam program pembangunan belia tani di UPM. Ketua Pustakawan PSAS, Cik Haslina Abu Seman @ Talib berkata “Perpustakaan komited sebagai rakan strategik universiti dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman melalui sokongan literasi maklumat yang membantu peserta mengenal pasti sumber yang sahih, mengumpul dan menyusun maklumat, serta menyediakan dokumentasi projek.”
Sepanjang bengkel selama dua hari, peserta turut didedahkan kepada modul keusahawanan merangkumi perniagaan dalam Islam, transformasi minda usahawan dan pembangunan model perniagaan, selain sesi bersama industri, lawatan tapak serta pembentangan.
Dalam pada itu, PSAS akan terus memainkan peranan secara berterusan dengan menyediakan ruang pembelajaran, bahan rujukan dan sumber maklumat berkaitan pertanian moden dan keusahawanan, serta melaksanakan sesi perkongsian ilmu, bengkel atau seminar kepada peserta program. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memperkukuh kemahiran literasi maklumat peserta, khususnya dalam aspek pencarian sumber yang sahih, pengurusan maklumat secara berkesan serta penghasilan dokumentasi projek secara sistematik.
Program ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang berdaya saing dalam bidang keusahawanan tani serta memperkukuh kemahiran praktikal pelajar.
![]() |
![]() |
|
| Pelajar UPM menerima surat tawaran PROBEST | Encik Mohd. Tarmizi bin Ishak sedang menyampaikan ucapan majlis perasmian. | |
![]() |
![]() |
|
|
Peserta PROBEST bergambar bersama Puan Roziana Mohammad (Agrobank), Encik Mohd Tarmizi Ishak (PPP) dan Cik Haslina Abu Seman @ Talib (PSAS) |
Peserta PROBEST sedang tekun mengikuti sesi taklimat program |
Tarikh Input: 11/05/2026 | Kemaskini: 11/05/2026 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)