PSAS UPM PERKUKUH KEMAHIRAN KOMUNIKASI PROFESIONAL WARGA PERPUSTAKAAN | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » PSAS UPM PERKUKUH KEMAHIRAN KOMUNIKASI PROFESIONAL WARGA PERPUSTAKAAN

PSAS UPM PERKUKUH KEMAHIRAN KOMUNIKASI PROFESIONAL WARGA PERPUSTAKAAN

Oleh: Nurazrina Mohd Rapi dan Norazira Mohamed

Serdang, 8 April 2026 - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan “Bengkel Transformasi Perkhidmatan Rujukan ke Arah Perpustakaan Akademik Bertaraf Dunia” bagi memperkukuh kemahiran komunikasi profesional dalam kalangan warga Perpustakaan.

Penceramah bengkel, Dr. Syarifah Sofiah Syed Zainudin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM berkata komunikasi profesional memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan perpustakaan yang cekap, mesra dan berkualiti. Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada aspek komunikasi verbal dan bukan verbal dalam perkhidmatan pelanggan, etika serta profesionalisme komunikasi, pengurusan situasi pelanggan secara berkesan serta pendekatan komunikasi melalui pelbagai saluran seperti bersemuka, e-mel, telefon, WhatsApp dan media sosial.

Menurut beliau, komunikasi yang berkesan bukan sahaja melibatkan penyampaian maklumat, malah turut menekankan elemen empati dan profesionalisme dalam interaksi bersama pelanggan. “Komunikasi profesional membantu mewujudkan suasana perkhidmatan yang lebih positif, selain meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan terhadap organisasi,” katanya.

Peserta turut diperkenalkan dengan model SERVE yang menekankan elemen Smile & Salam, Empathy, Respect, Verbal Clarity dan Ethics sebagai panduan komunikasi perkhidmatan berkualiti. Selain itu, model LEARN turut diketengahkan sebagai pendekatan pengendalian situasi pelanggan secara profesional melalui langkah Listen, Empathize, Apologize, Resolve dan Notify.

Dalam aspek komunikasi digital, penceramah menegaskan bahawa setiap saluran komunikasi memerlukan pendekatan yang jelas dan responsif serta mengekalkan elemen sopan santun dan profesionalisme kerana ia mencerminkan imej organisasi kepada pengguna.

 “Komunikasi digital yang baik perlu ringkas, jelas dan responsif kerana ia mencerminkan imej organisasi kepada pengguna. Walaupun komunikasi berlaku secara atas talian, elemen sopan santun dan profesionalisme tetap perlu dijaga,” katanya

Bengkel yang berlangsung secara interaktif ini turut melibatkan latihan secara amali melalui simulasi dan perbincangan situasi perkhidmatan bagi membantu peserta mengaplikasikan kemahiran komunikasi dalam tugasan harian.

Hasil program ini meningkatkan kefahaman peserta mengenai kepentingan komunikasi profesional, di samping memperkukuh kompetensi warga Perpustakaan dalam pengendalian pelanggan serta menyokong aspirasi Perpustakaan Sultan Abdul Samad sebagai Perpustakaan akademik bertaraf dunia.

Penganjuran bengkel ini juga membuktikan komitmen berterusan pihak Perpustakaan dalam memperkukuh kecemerlangan perkhidmatan melalui pembangunan kompetensi staf dan aspirasi Universiti Putra Malaysia untuk memperkasakan budaya perkhidmatan profesional.

 

     

Dr. Syarifah Sofiah Syed Zainudin ketika menyampaikan sesi ceramah sempena Bengkel Transformasi Perkhidmatan Rujukan PSAS UPM.

 

Sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah bengkel sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan perkongsian kepakaran.

Tarikh Input: 11/06/2026 | Kemaskini: 11/06/2026 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
W, (04:47:38am-04:52:38am, 25 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]