Oleh: Muhammad Aqiff Hakimi Mohd Ghazali dan Norazira Mohamed
Serdang, 11 Jun 2026 - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Workshop on Basic Power BI kepada pegawai dalam dan luar UPM bagi memperkukuh kemahiran dalam pengurusan, analisis dan visualisasi data melalui penggunaan platform Microsoft Power BI.
Bengkel ini disampaikan oleh Encik Ts. Mohd Afiq Rusly, Pustakawan, Seksyen Perkhidmatan Digital dan ICT, dengan dibantu oleh Cik Syafiqah Nabilah Jamali dari Seksyen Analisis Data Penyelidikan, PSAS, UPM.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta diberikan pendedahan berkaitan asas penggunaan Power BI melalui pendekatan teori dan amali yang merangkumi penyediaan data, penggunaan Query Editor, pemodelan data, aplikasi DAX serta kaedah menghasilkan visualisasi data yang lebih interaktif.
Penggunaan Power BI memberikan manfaat dalam memperkemas pengurusan dan penyampaian data melalui visualisasi yang lebih interaktif serta mudah difahami. Encik Mohamad Imran Zamberi, Pegawai Eksekutif, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan berkata, "Power BI membantu pengguna menghasilkan visualisasi dan pembentangan data yang lebih interaktif, khususnya apabila melibatkan jumlah data yang besar. Kemahiran ini wajar dikuasai oleh warga kerja bagi membantu pengurusan data dan penyediaan laporan yang lebih berkesan."
Semoga bengkel seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih mendalam bagi membolehkan peserta menguasai fungsi lanjutan Power BI dan mengaplikasikannya dalam pelbagai konteks pengurusan data di organisasi masing-masing.
|
Peserta mengikuti sesi bengkel secara amali |
|
Penceramah Ts. Mohd Afiq Rusly mengendalikan sesi Workshop on Basic Power BI |