Oleh: Roslan Ariffin, Norazira Mohamed, Najah Mohd Ali
SERDANG, 25 April 2025 - Kelas Pangkalan Data anjuran Bahagian Rujukan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah berlangsung secara dalam talian selama dua minggu, bermula pada 14 hingga 25 April 2025. Sebanyak 10 sesi kelas telah dijalankan melalui platform Google Meet, dengan penyertaan seramai 193 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program ini bertujuan membina kemahiran dalam penggunaan pangkalan data secara cekap dan berkesan bagi menyokong proses pembelajaran, pengajaran serta penyelidikan. Antara pangkalan data yang diperkenalkan termasuk Scopus, ScienceDirect, ProQuest, Nature Journals dan beberapa lagi pangkalan data utama. Setiap sesi dikendalikan oleh fasilitator profesional daripada pihak penyedia pangkalan data masing-masing.
Majoriti peserta program terdiri daripada pelajar pascasiswazah dengan jumlah kehadiran tertinggi iaitu 148 orang, diikuti oleh pegawai bukan akademik seramai 38 orang. Penilaian keseluruhan menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan apabila 100% peserta memberikan skor kepuasan pelanggan pada skala 4 dan 5 bagi setiap item yang dinilai, termasuk aspek ketertiban kelas, keberkesanan penyampaian, serta kebermanfaatan kandungan modul.
Penganjuran kelas ini mencerminkan komitmen PSAS dalam menyokong hala tuju strategik True North UPM, khususnya dalam memperkukuh budaya celik maklumat dan memantapkan ekosistem akademik universiti. Inisiatif ini juga membuktikan keprihatinan PSAS dalam menyampaikan perkhidmatan yang responsif, inovatif dan menyeluruh, selaras dengan aspirasi UPM untuk menjadi universiti bereputasi global yang unggul dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

Tarikh Input: 09/12/2025 | Kemaskini: 09/12/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)