Ulasan Buku: 100 Jejak Peribadi Rasulullah | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Ulasan Buku: 100 Jejak Peribadi Rasulullah

Ulasan Buku: 100 Jejak Peribadi Rasulullah

Oleh: Hanis Bin Johari

Maklumat Buku:

Judul Buku: 100 Jejak Peribadi Rasulullah
(Menelusuri Kehebatan Akhlak Rasulullah Junjungan Besar Muhammad SAW) Pengarang: Muhd Nasruddin Dasuki
Tahun diterbitkan: 2013
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN: 978-967-86-0411-6
Bilangan muka surat: 372
Bahasa: Bahasa Melayu
Kategori: Motivasi Islamik

ULASAN BUKU:

Bilangan perkataan: 678 patah perkataan

Pendahuluan
Penulis menggunakan pendekatan al-Quran untuk dijadikan panduan dalam mencari idea dan tajuk buku yang dihasilkan. Buku ini menghimpunkan 100 contoh perlakuan peribadi unggul dan berkualiti yang diamalkan oleh Rasullullah SAW. Pada sudut pandangan saya, apa yang dipaparkan di dalam buku ini keperibadian Rasulullah SAW dapat dijadikan contoh teladan yang sewajarnya kita jejaki seperti melakukan amal kebaikan dan kebajikan.

Isi Kandungan
Penulis menggunakan teknik penerangan dan pendedahan. Buku ini mengandungi 10 bab dan setiap bab di dalam buku ini menerangkan dengan terperinci tentang sifat sifat keperibadian Rasulullah yang dapat dijadikan sebagai motivasi dalam kehidupan seharian. Gaya penulisan yang jelas dan mudah difahami amat sesuai dijadikan panduan untuk setiap peringkat umur. Teknik definisi dan penerangan yang menarik menimbulkan rasa cinta dan rindu kita kepada Rasulullah.
Natijahnya, kita akan lebih mengagumi sifat keperibadian Nabi dan buku ini banyak berunsurkan nasihat dari segi percakapan,perbuatan, jasmani dan rohani.
Buku ini penulis banyak menyentuh tentang kehebatan akhlak Rasulullah seperti bersifat pemaaf, suka mengajak orang keaarah kebaikan, melaksana keadilan dan mengingatkan supaya umatnya meninggalkan kemungkaran dan kekejian. Dalam buku ini juga banyak memberikan contoh kisah-kisah Rasulullah dari segi pergaulan Nabi boleh bergaul dengan siapa sahaja sama ada dari peringkat kanak-kanak, golongan remaja dan tua. Apabila bertemu Rasulullah akan memberi salam dan baginda juga seorang yang sangat menepati janji. Contohnya, Rasulullah SAW telah berjanji untuk bertemu seseorang di suatu tempat, namun apabila orang itu tidak datang Rasulullah sanggup menunggunya sehingga dua hari. Baginda juga seorang yang amanah dan jujur sejak zaman remaja lagi. Ini dapat dibuktikan apabila Rasulullah SAW diamanahkan untuk menjalankan perniagaan Siti Khadijah sehingga membawa keuntungan dan akhirnya baginda bergelar al-amin. Oleh itu, melalui pembacaan ini kita dapat jadikan contoh teladan dan diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang pekerja atau pemimpin.
Di samping itu, penulis turut menyelitkan setiap bab dengan hadis dan makna dari ayat al-Quran untuk kita lebih memahami serta menghayati. Adab-adab, kelebihan dan kaedah dalam aspek tertentu juga ada disampaikan. Antaranya, adab berzikir, kelebihan berpuasa, beristighfar dan kaedah menghormati ibu bapa, meluangkan waktu bersama keluarga. Malahan, pada akhir setiap bab penulis juga akan memberikan pengajaran dan mutiara kata sesuai dengan situasi masa kini. Kelebihan buku ini juga penulis ada menyertakan senarai sumber rujukan dari buku-buku lain dan ilustrasi gambar untuk menarik minat pembaca.
Rasulullah S.A.W sangat perihatin dengan ummahnya. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan At-Tirmidzi, Rasulullah SAW mendahulukan tetamu, kemudian sahabatnya, Abu Hurairah RA untuk minum susu. Ketua yang prihatin akan mendahulukan pekerjanya untuk ganjaran dan kebajikan sebelum dirinya. Ia akan menambahkan kepercayaan orang bawahan terhadap ketua tersebut. Ketua juga sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan pekerjanya. Contohnya, kisah Ali R.A. berlindung di belakang Rasulullah S.A.W ketika Perang Badar, sedangkan baginda SAW paling dekat dengan musuh.
Malah, Rasululllah SAW selalu bercakap benar sebelum menjadi nabi dan rasul. Oleh itu, kaum Quraisy di Makkah mempercayai baginda SAW. Oleh itu, perbaiki diri dengan berpandukan al-Quran dan sunah. Jangan hipokrit iaitu hanya pandai bercakap, tetapi tidak buat. Rasulullah SAW mempunyai nilai integriti terbaik melalui akhlaknya. Ini sebagaimana disebut dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21. Nabi Muhammad S.A.W bersifat introvert. Kurang bercakap lebih banyak mendengar. Ini berbeza dengan sifat pemimpin yang ekstrovert biasanya banyak bercakap tetapi kurang mendengar. Baginda SAW juga tidak bermegah dalam berpakaian, tetapi cukup sekadar pakaian yang sederhana. Hari ini kita gemar meniru cara orang lain dalam pelbagai aspek. Untuk mencontohi Rasulullah SAW, kita perlu sentiasa 'memasakkan' dalam pemikiran kita untuk menjadi nombor satu. Tidak perlu tiru sesiapa, tapi jadilah diri sendiri.

Kesimpulan
Akhir kata, saya merasakan buku ini dapat membantu memperkasa kualiti diri selaras dengan apa yang Rasulullah amalkan, sentiasa istiqamah dan unggul dengan keperibadiannya. Ia sepatutnya menjadi ikutan dalam kehidupan supaya tidak mudah tersasar dari landasan hidup. Saya juga merasakan buku ini sangat sesuai untuk bacaan umum kerana ia amat berfaedah dan sedikit sebanyak dapat membantu merubah ke arah menjadi insan yang lebih baik.

Tarikh Input: 14/01/2022 | Kemaskini: 14/01/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXDdDAQ~