Oleh: Syarfeeza Mohamad Saifuddin, Morni Yati Ibrahim
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) [PPPM (PT)] menggariskan Massive Open Online Learning (MOOC) sebagai salah satu agenda utama di bawah Lonjakan 9 - Pembelajaran dalam talian tahap Global (Global Online Learning, GOL). MOOC merupakan evolusi terkini dalam pendidikan global yang mempunyai kelebihan termasuk akses yang meluas dan inklusif, fleksibiliti pembelajaran dari segi masa dan tempat, serta penyertaan tanpa had. MOOC menggabungkan kedua-dua bahan kursus tradisional dan moden untuk pembelajaran seperti video, bahan bacaan, projek, tugasan, penilaian serta dan aktiviti gamifikasi seperti kuiz, kahoot dan lain-lain.
Inisiatif MOOC di UPM bermula pada tahun 2014 di bawah jenama PutraMOOC dengan menyediakan kursus dalam talian secara akses terbuka melalui platform internet. Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) mula melaksanakan inisiatif ini pada tahun 2022 dengan pembangunan dua (2) modul MOOC iaitu KOHA dan Turnitin, seterusnya modul Scopus dan JCR pada tahun berikutnya. Pada tahun 2023, sebuah Task Force dilantik dan diberi tanggungjawab bagi membangunkan platform dan kandungan MOOC Pembantu Pustakawan dan ianya telah berjaya dilaksanakan seperti yang ditetapkan. MOOC Pembantu Pustakawan bertujuan memberikan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran berkaitan tugas pembantu pustakawan yang ditransformasikan melalui kaedah pembelajaran kendiri secara dalam talian yang lebih interaktif dan efektif. Pendekatan ini disesuaikan dengan keperluan semasa bagi memastikan bakal pembantu pustakawan dapat beradaptasi dengan perubahan dan menyediakan maklumat yang relevan serta terkini kepada pengguna.
MOOC Pembantu Pustakawan ini menggunakan platform Moodle, sebuah aplikasi akses terbuka yang telah dinaik taraf daripada versi 3.1 kepada versi 4.0. Penggunaan aplikasi percuma ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos, tetapi juga merangsang daya kreativiti dan inovasi di kalangan staf perpustakaan.
Dua modul MOOC dalam Bahasa Melayu telah dibangunkan merangkumi modul pengkatalogan dan pemprosesan bahan, serta modul perkhidmatan sirkulasi dan penyelenggaraan koleksi. Modul pengenalan kepada perpustakaan juga dihasilkan bagi memberikan panduan asas mengenai perpustakaan di Malaysia. Sasaran pengguna MOOC ini adalah individu dari kalangan orang awam yang berminat untuk memperoleh maklumat mengenai peranan utama pembantu pustakawan.
Salah satu objektif MOOC Pembantu Pustakawan adalah untuk meningkatkan keterlihatan PSAS dalam menonjolkan bidang sains perpustakaan melalui pendekatan pembelajaran yang fleksibel, terbuka, dan berterusan, selaras dengan konsep “pembelajaran sepanjang hayat.” Pembelajaran dalam talian ini merupakan tanggungjawab sosial PSAS yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada komuniti luar dalam usaha menambahbaik akses pendidikan serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, seiring dengan kemajuan teknologi terkini.
Tarikh Input: 19/05/2025 | Kemaskini: 19/05/2025 | amiruliqhmal
PERKONGSIAN MEDIA