Oleh : Hazlindah Basiron, Khairil Ridzuan Khahirullah dan Emelda Mohd Hamid
Lenggong, Perak, 28 September 2025 – Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Pemantapan Pasukan PSAS 2025: Ke Arah Perpustakaan Akademik Bertaraf Dunia, bertemakan “Sinergi Pasukan, Pendorong Transformasi”, pada 26–28 September 2025 di PUSKEP, Lenggong, Perak.
Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah disertai oleh seramai 72 orang staf PSAS daripada pelbagai bahagian dan jawatan. Penganjuran program ini merupakan antara inisiatif perpustakaan dalam usaha memperkukuh hubungan kerja, memperkasa kepimpinan serta memupuk nilai kerjasama yang kukuh dalam kalangan warga PSAS.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan, En. Mahbob Yusof, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan membina semangat kerja berpasukan, komunikasi berkesan dan profesionalisme dalam kalangan warga perpustakaan. Beliau turut menegaskan bahawa kecemerlangan PSAS sebagai perpustakaan akademik bertaraf dunia memerlukan kesepaduan tenaga dan komitmen semua peringkat staf.
Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal dan interaktif seperti water confidence, kayak, abseiling, wall climbing, obstacle course, paintball dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memerlukan kerjasama, ketahanan diri serta keupayaan membuat keputusan secara kolektif. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah meningkatkan komunikasi dan kepercayaan antara ahli pasukan.
Selain aktiviti fizikal, program ini turut dilengkapi dengan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah dan sesi tazkirah yang bertujuan menyemai nilai spiritual, membina kebersamaan dan memupuk sahsiah diri dalam kalangan peserta.
Dalam ucapan beliau semasa majlis penutup, Ketua Pustakawan merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas perancangan serta pelaksanaan program yang baik, di samping mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Beliau menambah bahawa aktiviti seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti kerja, tetapi juga membentuk budaya organisasi yang positif dan berdaya saing.
Majlis penutup program diakhiri dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan aktif mereka sepanjang program dijalankan.
Secara keseluruhannya, Program Pemantapan Pasukan PSAS 2025 telah berjaya mencapai objektif penganjurannya. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kekitaan dalam kalangan warga PSAS, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan pasukan kerja yang berdaya tahan, berfikiran positif dan komited ke arah kecemerlangan Perpustakaan Sultan Abdul Samad sebagai perpustakaan akademik bertaraf dunia.
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
Tarikh Input: 12/11/2025 | Kemaskini: 12/11/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)