Oleh : Asfa Eldiana Khairunnizam dan Hazlindah Basiron
Serdang, 26 Februari – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan ASEAN University Cashflow Challenge 2026 sebagai inisiatif untuk memperkukuh literasi kewangan, serta memupuk pemikiran keusahawanan dalam kalangan mahasiswa di peringkat universiti dan rantau ASEAN.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dalam menyediakan platform pembelajaran kewangan secara interaktif kepada mahasiswa.
Majlis pelancaran program disempurnakan oleh tokoh kewangan antarabangsa, Robert Kiyosaki, pengarang buku terkenal Rich Dad Poor Dad. Kehadiran beliau bersama Dr. Abuayubul Ansari Ibramsha, Founder dan Ketua Pegawai Eksekutif Now Asia, menarik perhatian mahasiswa, staf universiti serta komuniti luar.
Dalam sesi perkongsian, Robert Kiyosaki menekankan kepentingan kefahaman asas kewangan sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi pada masa hadapan. Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan kewangan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang lebih berpengetahuan serta berkeupayaan membuat keputusan kewangan yang bijak.
Selain itu, para peserta turut berpeluang menyertai aktiviti Cashflow Game yang dikendalikan oleh Dr. Abuayubul Ansari Ibramsha. Aktiviti berbentuk simulasi kewangan ini memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk memahami konsep aliran tunai, pelaburan serta pengurusan kewangan melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif.
Penganjuran program ini sekali gus mencerminkan komitmen Universiti Putra Malaysia dalam melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
![]() |
![]() |
|
|
Majlis Pelancaran ASEAN University Cashflow Challenge 2026 disempurnakan oleh tokoh kewangan antarabangsa merangkap pengarang buku Rich Dad Poor Dad, Robert Kiyosaki. |
Sebahagian peserta mencuba aktiviti Cashflow Game yang bertujuan meningkatkan pemahaman tentang pengurusan kewangan. |
Tarikh Input: 06/03/2026 | Kemaskini: 06/03/2026 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)