Oleh: Nur Azwani Syuhadah Abdul Halil dan Norazira Mohamed
SERDANG – Penyediaan Surau Wakaf di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh kemudahan ibadah di kampus serta menyokong kesejahteraan rohani warga universiti dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif dan holistik.
Surau yang dibangunkan berteraskan konsep wakaf ini menyediakan ruang ibadah yang selesa, mudah diakses dan mesra pengguna, khususnya kepada warga Perpustakaan serta pengunjung PSAS.
Terletak di Ruang Pelajar Blok B, Aras 2 berhampiran Koleksi Khas, Surau Wakaf ini dibangunkan dengan keluasan kira-kira 111.5 meter persegi dan mampu menampung sekitar 100 jemaah pada satu-satu masa. Kemudahan yang disediakan turut mengambil kira keperluan pengguna lelaki dan wanita secara berasingan bagi memastikan keselesaan serta kesesuaian penggunaan.
Sebagai sebahagian daripada kemudahan perpustakaan, Surau Wakaf ini berfungsi sebagai ruang ibadah harian yang menyokong keseimbangan antara keperluan akademik dan spiritual dalam kalangan warga kampus.
Sementara itu, Ketua Pustakawan UPM, Cik Haslina Abu Seman berkata, penyediaan Surau Wakaf di PSAS merupakan antara usaha berterusan pihak perpustakaan dalam menambah baik kemudahan sokongan kepada pengguna.
“Surau ini bukan sahaja menyediakan ruang ibadah yang selesa dan kondusif, malah melengkapkan persekitaran pembelajaran yang menyeluruh dengan mengambil kira keperluan ibadah warga Kampus,” katanya.
Selain itu, penyediaan surau ini turut mencerminkan penghayatan budaya wakaf sebagai amalan berterusan dalam menyokong pembangunan kemudahan institusi pendidikan serta memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti universiti.
Inisiatif ini memperkukuh peranan PSAS sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menyediakan sumber maklumat dan pembelajaran, malah turut menitikberatkan kesejahteraan holistik melalui kemudahan yang inklusif, selesa dan mesra pengguna.
![]() |
![]() |
|
|
Yang Berbahagia Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM, menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Surau Wakaf Perpustakaan. |
Naib Canselor UPM mengimamkan solat Zohor bersama warga PSAS. | |
![]() |
![]() |
|
|
Sesi tazkirah oleh Naib Canselor UPM kepada warga PSAS sempena Majlis Perasmian Surau Wakaf Perpustakaan. |
Penyerahan sumbangan Wakaf Mushaf Al-Quran Braille kepada PSAS oleh WAZAN UPM. |
|
Tarikh Input: 10/06/2026 | Kemaskini: 10/06/2026 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)