PSAS PERKUKUH AMALAN SAINS TERBUKA MELALUI PENGANJURAN WEBINAR PUTRARDREPO | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD lib
» BERITA » PSAS PERKUKUH AMALAN SAINS TERBUKA MELALUI PENGANJURAN WEBINAR PUTRARDREPO

PSAS PERKUKUH AMALAN SAINS TERBUKA MELALUI PENGANJURAN WEBINAR PUTRARDREPO

Oleh: Nida Hidayati Ghazali

SERDANG, 27 Oktober 2025 - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Webinar Sains Terbuka & Pengurusan Data dalam PutraRDRepo pada 23 Oktober 2025 sebagai satu inisiatif memperkasa kefahaman komuniti penyelidik mengenai kepentingan Sains Terbuka dan pengurusan data penyelidikan yang berkesan. Program ini diadakan bagi menyokong usaha PSAS dalam mempromosikan budaya penyelidikan yang telus, berintegriti dan berimpak tinggi.

Webinar ini memberi pendedahan komprehensif mengenai konsep dan prinsip utama Sains Terbuka, khususnya dalam konteks amalan penyelidikan moden. Sepanjang sesi, peserta turut diperkenalkan kepada PutraRDRepo, repositori rasmi universiti yang menjadi platform utama untuk perkongsian dan akses data penyelidikan secara telus dan teratur seterusnya menyokong peningkatan keterlihatan dan kolaborasi dalam penyelidikan.

Webinar turut menekankan kepentingan memastikan data penyelidikan disusun dan direkod dengan jelas bagi memudahkan capaian serta penggunaan semula oleh komuniti penyelidik. Pendekatan ini membantu mengukuhkan kecekapan pengurusan maklumat serta meningkatkan nilai dan impak sesuatu projek penyelidikan.

Sesi ini telah disampaikan oleh pustakawan dari Bahagian Perkhidmatan Penyelidikan dan Maklumat, PSAS, Puan Nida Hidayati Ghazali dan Cik Syafiqah Nabilah Jamali, dan mendapat sambutan menggalakkan daripada 143 orang peserta, termasuk pelajar, penyelidik dan pegawai akademik.

Penganjuran webinar ini menegaskan komitmen PSAS dalam menyediakan sokongan berterusan kepada komuniti penyelidik melalui penyediaan platform, latihan dan sumber maklumat yang relevan selaras dengan perkembangan ekosistem penyelidikan di peringkat universiti.

     

 

Tarikh Input: 02/12/2025 | Kemaskini: 02/12/2025 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
X, (08:58:30am-09:03:30am, 19 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]