Pelajar Serlah Kreativiti Dalam Bengkel 'Blank Pages: DIY Diary Workshop' | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Pelajar Serlah Kreativiti dalam Bengkel 'Blank Pages: DIY Diary Workshop'

Pelajar Serlah Kreativiti dalam Bengkel 'Blank Pages: DIY Diary Workshop'

Serdang, 9 Julai 2025 – Bahagian Media, Arkib dan Pemuliharaan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan bengkel kreatif bertajuk “Blank Pages: DIY Diary Workshop” pada 9 Julai 2025 bertempat di Bahagian Media, Arkib dan Pemuliharaan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Bengkel ini bertujuan memperkenalkan teknik asas penjilidan manual (manual bookbinding) serta memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan diari eksklusif yang direka dan dijilid sendiri. Seramai lima orang pelajar UPM telah menyertai bengkel ini, yang turut memberi pengalaman ‘hands-on’ dalam menghasilkan buku nota bercorak peribadi serta berunsur sentimental.

Sepanjang bengkel, peserta diberi bimbingan secara langkah demi langkah dalam proses pemotongan kertas, penyusunan helaian, penjilidan, dan hiasan kulit diari. Para peserta menyatakan rasa teruja dan bangga apabila berjaya menghasilkan sendiri buku nota mereka dengan hasil kerja tangan yang unik.

Bengkel ini dikendalikan oleh staf PSAS yang berpengalaman luas dalam melaksanakan kerja-kerja penjilidan bahan perpustakaan. Bengkel ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan asas penjilidan, tetapi juga menggalakkan kreativiti dan kesedaran terhadap penjagaan bahan fizikal dalam konteks pengurusan rekod dan dokumen peribadi.

Bengkel ini diadakan sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2025 peringkat UPM, di bawah tema “94 Tahun UPM: Menghargai Sejarah, Merencana Masa Depan.” Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen PSAS dalam mendekatkan mahasiswa dengan aktiviti pengurusan bahan bercetak secara kreatif serta menanam minat terhadap nilai dokumentasi dan memori peribadi melalui aktiviti yang kreatif.

     
             
   

Tarikh Input: 16/07/2025 | Kemaskini: 16/07/2025 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
W, (04:16:30am-04:21:30am, 25 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]