Pameran Perpustakaan Perkasa Budaya Ilmu Di Karnival True North Putra 2026 | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD lib
» BERITA » Pameran Perpustakaan Perkasa Budaya Ilmu di Karnival True North Putra 2026

Pameran Perpustakaan Perkasa Budaya Ilmu di Karnival True North Putra 2026

Oleh: Nazibah Kamaruddin dan Mohd Badrul Hisham Basro

Serdang, 30 Januari 2026 – Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menyertai Karnival True North Putra 2026 melalui penganjuran Pameran Perkhidmatan Perpustakaan yang berlangsung pada 29 dan 30 Januari 2026, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.

Penganjuran pameran ini diadakan bersempena Majlis Amanat Naib Canselor Universiti Putra Malaysia 2026 dan merupakan salah satu inisiatif strategik perpustakaan dalam menyokong agenda transformasi ilmu serta memperkukuh budaya akademik dalam kalangan warga universiti.

Sepanjang dua hari pameran berlangsung, pelbagai perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan telah diperkenalkan kepada pengunjung. Antaranya termasuk promosi sumber maklumat bercetak dan elektronik, pengenalan pangkalan data dalam talian, perkhidmatan sokongan penyelidikan serta khidmat nasihat literasi maklumat. Bahan-bahan promosi turut diedarkan bagi meningkatkan kesedaran tentang kemudahan dan kepakaran yang ditawarkan oleh perpustakaan.

Menurut Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dalam amanat beliau "Agenda True North Putra menuntut seluruh warga universiti untuk memperkukuh budaya ilmu, memperkasa penyelidikan dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang berimpak tinggi kepada komuniti. Perpustakaan sebagai nadi ilmu universiti memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat ini."

Pameran ini telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada staf dan pelajar Universiti Putra Malaysia. Interaksi secara langsung antara pustakawan dan pengunjung bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik, malah membuka ruang kepada perkongsian maklumat dan maklum balas yang konstruktif.

Secara keseluruhannya, penyertaan Perpustakaan UPM dalam Karnival True North Putra 2026 membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong kecemerlangan akademik universiti selaras dengan aspirasi dan halatuju institusi.

 

     

YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM sempat melawat pameran perkhidmatan perpustakaan.

 

Cik Nazibah Kamaruddin memberi penerangan ringkas berkaitan perkhidmatan perpustakaan kepada YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Tarikh Input: 04/03/2026 | Kemaskini: 04/03/2026 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
X, (11:34:34am-11:39:34am, 04 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]