Minggu Statistik UPM 2025 Tekankan Kepentingan Data Sebagai Nadi Kehidupan | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Minggu Statistik UPM 2025 Tekankan Kepentingan Data Sebagai Nadi Kehidupan

Minggu Statistik UPM 2025 Tekankan Kepentingan Data Sebagai Nadi Kehidupan

Oleh: Mohd Badrul Hisham Basro

Serdang, 24 Oktober 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Persatuan Mahasiswa OKU UPM telah menganjurkan Minggu Statistik UPM 2025 pada 20 hingga 24 Oktober 2025 bertempat di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM.

Bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan”, program ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran komuniti kampus terhadap peranan penting statistik dalam kehidupan seharian serta penggunaannya dalam bidang penyelidikan, pentadbiran dan pembangunan negara.

Sepanjang minggu berkenaan, pelbagai aktiviti ilmiah dan interaktif telah dijalankan antaranya webinar dan bengkel, pameran maya, pameran dan booth konsultasi, serta dua pertandingan utama iaitu UPM Statsventure Challenge dan Kuiz dalam talian. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menarik minat pelajar dan warga kampus untuk terlibat secara langsung, malah turut menggalakkan pembudayaan ilmu statistik di peringkat universiti.

Menurut wakil Perpustakaan Sultan Abdul Samad, penganjuran Minggu Statistik UPM 2025 merupakan usaha berterusan pihak perpustakaan dalam menyokong inisiatif universiti ke arah memperkukuh literasi data dan statistik dalam kalangan warga kampus. Program ini juga menjadi platform strategik untuk memperluas kerjasama antara UPM dan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam memperkasakan budaya penggunaan data yang berkualiti, sahih dan beretika.

Kerjasama dengan Persatuan Mahasiswa OKU UPM turut menyerlahkan komitmen universiti terhadap prinsip keterangkuman dan akses ilmu yang saksama untuk semua lapisan masyarakat kampus.

Penganjuran Minggu Statistik UPM 2025 telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai peringkat warga universiti. Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang menyemarakkan budaya celik statistik dan memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti dalam era pemacuan data.

4           

 

Tarikh Input: 14/11/2025 | Kemaskini: 14/11/2025 | amiruliqhmal

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
X, (10:37:04pm-10:42:04pm, 23 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]