Oleh: Hazlindah Basiron dan Emelda Mohd Hamid
Serdang, 23 September 2025 – Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Matriks Kompetensi Staf bertempat di Bilik Termasa, PSAS. Bengkel sehari ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan telah dihadiri oleh 27 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Bahagian bersama seorang wakil dari setiap bahagian di PSAS.
Bengkel dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Timbalan Ketua Pustakawan, Cik Haslina Abu Seman @ Talib, yang menekankan kepentingan pembangunan kompetensi sebagai asas dalam meningkatkan keupayaan dan profesionalisme warga kerja perpustakaan selaras dengan aspirasi universiti.
Sesi bengkel dikendalikan oleh YBrs. Dr. Siti Noormi binti Alias, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, yang berkongsi kepakaran dalam bidang pembangunan kompetensi. Antara objektif utama bengkel adalah untuk meningkatkan pemahaman staf terhadap konsep serta komponen matriks kompetensi, membimbing peserta mengenal pasti kompetensi teras, generik dan fungsian yang relevan, serta menyediakan panduan membina matriks kompetensi yang selaras dengan hala tuju strategik PSAS.
Sepanjang bengkel, peserta berpeluang mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan secara interaktif. Perbincangan dua hala ini membolehkan mereka memahami dengan lebih jelas proses pembangunan matriks kompetensi serta cara pengaplikasiannya dalam konteks tugas masing-masing.
Melalui pendedahan ini, staf PSAS dijangka dapat menyumbang secara lebih efektif dalam menyokong matlamat strategik perpustakaan, khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pembangunan bakat warga kerja.
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 10/10/2025 | Kemaskini: 10/10/2025 | amiruliqhmal

03 9769 4745 (8.00 PG - 5.00 PTG)
03 9769 4686 (5.00 PTG - 10.00 MLM)