Ulasan Buku: The Art Of Letting God | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Ulasan Buku: The Art of Letting God

Ulasan Buku: The Art of Letting God

Oleh: Norfaezah Binti Khomsan

MAKLUMAT BUKU
Judul Buku: The Art of Letting God
Pengarang: Mizi Wahid
Tahun terbit: 2019
Penerbit: IMAN Publication
ISBN: 97898324236683
Bil. Ms: 149
Bahasa: Bahasa Inggeris
Kategori: Motivasi – Islam

ULASAN BUKU
Bilangan perkataan: 562 patah perkataan

Pendahuluan
Buku The Art of Letting God ini ialah sebuah buku perjalanan spiritual untuk pulang kepada Pencipta. Gaya Bahasa yang digunakan juga adalah Bahasa Inggeris yang mudah namun terdapat juga perkataan yang rumit tetapi memberi makna yang mendalam. Buku ini sesuai untuk semua peringkat umur dan boleh dijadikan sebagai salah satu buku biblioterapi bagi penyembuhan jiwa dan minda pembaca. Penulis merupakan pengasas Safinah Institute yang memberikan pendidikan agama dan motivasi. Terdapat contoh-contoh kes semasa yang dikaitkan di dalam buku ini yang membuatkan pembaca dapat memahami dan mendalami objektif utama yang cuba disampaikan oleh penulis.

Isi kandungan
Tajuk buku ini The Art of Letting God pada mulanya dilihat straight to the point. Namun penjelasan penulis di dalam buku ini menjadikan ia sebuah buku yang boleh dibaca secara berulang-ulang dan mempunyai kesan yang berbeza kepada setiap individu. Buku ini mengajak pembaca untuk menghadapi masalah dan isu kehidupan dengan bersikap realistik dengan memahami asal wujud masalah dalam kehidupan. Penulis merungkai punca kebanyakan individu yang mula berputus asa dalam kehidupan dan ada yang sentiasa diburu perasaan marah atau bersalah baik di dalam kehidupan peribadi atau kerjaya. Penulis menggunakan ayat-ayat motivasi untuk mendekatkan diri dengan pembaca dan memberi semangat kepada pembaca mendekatkan diri dengan Tuhan. Segala masalah yang dihadapi oleh individu perlu diterima dengan matang dan perlu sentiasa mencari hikmah di dalam setiap ujian.
Penulis menekankan konsep ‘surrender’ iaitu penyerahan. Penyerahan mutlak ialah penyerahan diri kepada tuhan. Yakin akan masa dan ketetapan Pencipta yang sentiasa kasih akan hambanya. Dengan melepaskan apa yang tidak boleh diubah, individu dibawa melihat ke suatu dimensi baharu untuk percaya dan terus memandang kehadapan dengan membuat perubahan kearah yang lebih baik. Setiap sesalan harus disulami dengan doa dan bukan dengan sikap menyalahkan diri sendiri, situasi atau orang lain.
Penulis seterusnya membawa pembaca kepada konsep kemaafan. Maaf itu diberi untuk pembebasan diri sendiri dan hukuman itu bukanlah di tangan manusia sebaliknya pada Pencipta. Jangan bertindak menghukum atau menganiaya dan sentiasalah bersyukur dengan pemberian-Nya. Masa silam yang tidak dapat diubah kadangkala menjadikan seseorang itu terus melihat masa depan dengan suram, namun penulis mendorong pembaca untuk sentiasa mulakan kehidupan yang baru kerana terdapat banyak perkara untuk disyukuri. Terlalu banyak alasan yang boleh digunakan untuk seseorang itu membiarkan dia terus dihambat dengan masa lampau namun penulis sentiasa memujuk pembaca untuk let go and let god.
Apabila kita dapat melepaskan bebanan atau perasaan negatif di dalam diri, kita akan merasa suatu perasaan yang sangat tinggi. Diri seseorang akan dipenuhi tenaga positif untuk membaiki diri dan terus melangkah ke masa hadapan. Penyerahan diri kepada pencipta dan yakin bahawa sesungguhnya Dia ada bersama di setiap Langkah kita akan mampu menjadikan seseorang insan memandang kehidupan dari sebuah dimensi yang berbeza. Kepercayaan kepada Penciptanya akan menjadikan seorang insan itu lebih optimis dalam memandang kehidupan.

Kesimpulan
Buku ini berupaya memberi nafas baru kepada pembacanya. Di usia remaja atau dewasa mungkin kita akan mempunyai sesalan atau pengalaman yang tidak dapat kita lupakan. Namun, tanpa kita sedar, kita sudah pun melalui detik itu dan dengan bantuan Pencipta juga kita berada di mana kita berada sekarang. Buku ini sesuai untuk pembaca yang sedang mengalami konflik di alam perkerjaan untuk menghasilkan seorang pekerja yang produktif dan mampu melihat sisi baik setiap situasi. Buku ini secara tidak langsung mendorong seseorang pekerja untuk berfikiran terbuka dan positif ketika dilanda masalah. Perasaan bersangka baik terhadap sesama insan, terutamanya rakan sekerja dan penyelia akan membantu memberikan suasana kerja yang harmoni dan saling bekerjasama.

Tarikh Input: 21/02/2022 | Kemaskini: 21/02/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXFTHAr~