Books : Healing Power | SULTAN ABDUL SAMAD LIBRARY
» ARTICLE » Books : Healing Power

Books : Healing Power

BUKU : KUASA MENYEMBUH

PENULIS : FAZLIN SHAMSUDDIN

 

Firman Allah swt. :

“Dan Kami turunkan iaitu Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman …” (al-Israa’:82).

Menurut Prof. Dr. Muhmmad Tauffik Mohd Noor, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam kajiannya mendapati alunan ayat atau bacaan ayat al-Quran adalah antara terapi terbaik bagi menghasilkan ketenangan sekaligus membantu mengawal emosi dan menghasilkan tindak balas positif. Selain al-Quran, terdapat beberapa bahan bacaan lain iaitu buku, kata-kata motivasi, sajak/puisi malah lirik lagu yang juga merupakan terapi bagi jiwa dan hati. 

Apa itu Biblioterapi ?

Dikenali sebagai terapi bisu, biblioterapi adalah salah satu teknik terapi yang memiliki sejarah yang terpanjang dalam sejarah dunia terapi. Samuel McChord Crothers (1916), telah menulis artikel pertama dengan tajuk A Literary Clinic berkenaan Bibliopathic Institute yang dikendalikan oleh Dr. Bangster,  di mana buku digunakan sebagai medium terapi ekspresif yang melibatkan bahan-bahan tertentu sebagai satu kaedah merawat jiwa dan hati.  Semasa Perang Dunia Pertama, buku antara salah satu terapi yang digunakan untuk merawat pesakit pada waktu itu. Dengan membaca, pesakit berasa lebih tenang dan stabil malah dapat mengatasi rasa sakit pada waktu itu. Biblioterapi juga bermaksud “berkongsi buku atau cerita dengan tujuan untuk membantu individu atau kelompok untuk melihat ke dalam masalah emosi dan jiwa”, (Chon,1995). Lebih terperinci lagi “berkongsi buku atau cerita dapat membantu dalam menyembuh dan menstabilkan emosi dan jiwa”, (Forgan, 2002). 

Adakah biblioterapi ini adalah rawatan yang berkesan?

Berdasarkan kepada maklumbalas daripada pengamal perubatan, bibiloterapi digunakan secara meluas dalam dunia perubatan kesihatan mental khususnya yang berkaitan dengan masalah remaja dan kanak-kanak. Sebagai contoh, kajian mendapati biblioterapi ini dapat membantu  ketika berdepan dengan masalah perceraian, kehilangan ahli keluarga atau peralihan suasana. Biblioterapi juga membantu anak angkat untuk menyesuaikan diri dalam keluarga atau suasana baharu (Nelson, 1993). Selain itu, biblioterapi juga dapat membantu ketika berdepan dengan isu berkaitan masalah kesihatan mental ibu bapa (Kuivila,1991), serta membantu kanak-kanak dalam mengekspresi emosi ketika berdepan dengan keluarga yang mempunyai masalah ketagihan alkohol (Storm, 1990). Secara amnya, biblioterapi adalah terapi bagi meluahkan kebenaran dan empati diri, serta memulihkan kemahiran sosial dan berkomunikasi. Malah ia mampu merawat emosi sendiri dan orang lain serta menurunkan rasa kebimbangan kronik secara berterusan (anxiety disorder), dan menggalakkan perubahan serta kekuatan diri. 

Mengapa Biblioterapi ?

Setiap tiga daripada 10 orang rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas (atau 29.2 peratus) mengalami pelbagai masalah kesihatan mental. Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan menjelang tahun 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar yang membahayakan rakyat negara ini selepas penyakit jantung (Harian Metro, 5 April 2018). 

Melalui bibiloterapi, minda pesakit akan berfikiran secara terbuka berkenaan emosi dan perasaan terpendam dalam diri mereka. Malah melalui biblioterapi, seseorang boleh meluahkan perasaan dan menyelesaikan masalah dengan cara inovatif bagi mengatasi rasa takut dalam diri sendiri. Terdapat insan yang mampu sembuh hanya dengan bantuan buku yang terpilih untuk merawat pesakit mental. Walaubagaimanapun, terapi ini hanya boleh digunakan bagi merawat individu yang mengalami kemurungan biasa atau sederhana. Maka melalui bahan bacaan yang bagus dapat memberikan panduan kepada pembaca untuk mengatasi masalah yang dihadapi. 

 Pengalaman sendiri berdepan dengan anak yang mempunyai sindrom kebimbangan melampau (mild anxiety) dan kini mengalami masalah kesukaran untuk masuk ke kelas, penulis mula mencari bahan bacaan yang bersesuaian untuk anak dan diri sendiri. Anak kini mula menunjukkan minat membaca walaupun bahan bacaan tidak menjurus kepada subjek biblioterapi, tetapi sedikit sebanyak telah mendatangkan impak yang positif. Ayat-ayat penyembuh atau kata semangat seperti “Kebanggaan kita yang terbesar bukan kerana tidak pernah gagal, tapi bangkit kembali setiap kali kita jatuh, (Confucius)” yang dipetik dari Cerita gagal : penamat atau pemula ? dan “Tuhan menegur mendidik dan menzahirkan kasih sayang-Nya melalui pelbagai cara, pujuk hati untuk selalu berlapang dada”, petikan dari Stay Strong, menjadi panduan kepada penulis untuk belajar menjadi sabar, tenang, bersikap positif. Ini telah memberikan semangat baharu kepada penulis untuk berdepan dengan ujian malah bersikap lebih proaktif dalam kehidupan seharian dan inshallah dalam masa akan datang. 

Peranan Pustakawan dan Perpustakaan

Pustakawan boleh memainkan peranan sebagai fasilitator di dalam pemilihan bahan bacaan yang positif, mempunyai penceritaan yang bagus serta yang dapat  memberikan motivasi kepada pembaca. Pemilihan bahan bacaan bergantung kepada tujuan dan tahap intervensi yang diinginkan. Dalam konteks kurangnya tahap budaya membaca di Malaysia, biblioterapi belum diperkenal secara meluas dalam kalangan pustakawan di Malaysia. Namun demikian, bagi sebahagian penggemar buku (bibliophile), membaca merupakan salah satu cara untuk merawat masalah jiwa dan hati, stres dan mengisi masa. Selain itu, penyediaan sudut untuk mempamerkan bahan bacaan yang menyokong biblioterapi juga amatlah digalakkan sepertimana yang telah dimulakan dan dipraktis di Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM, cawangan Puncak Perdana. Dengan adanya ruang atau sudut khas ini, pembaca boleh mendapat akses yang cepat kepada bahan bacaan yang berkaitan dengan masalah yang sedang dihadapi. 

Untuk mendapatkan panduan dan khidmat nasihat, pustakawan boleh menghubungi Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA) yang kini sedang giat menjalankan kursus, latihan serta memberikan pendedahan berkenaan biblioterapi kepada semua pustakawan di seluruh Malaysia yang diketuai oleh Puan Rafidah Abd. Aziz, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat. 

PERBIMA ditubuhkan bertujuan untuk mempromosikan perpustakaan sebagai pusat yang menyediakan bahan-bahan untuk biblioterapi dan membantu perpustakaan menjadi platform yang menyediakan persekitaran yang kondusif dan mampu untuk mencadangkan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian. Selain itu, ahli-ahli PERBIMA akan didedahkan dengan teknik pemilihan bahan serta peluang untuk mempelajari teknik “layan diri”, “bacaan berpandu” dan juga terapi lain yang berkaitan. Maklumat lanjut berkenaan PERBIMA boleh didapati di facebook Persatuan Biblioterapi Malaysia. 

 

Hidup seimbang, rawat hati dan jiwa dengan membaca

Biblioterapi memberikan manfaat dalam membantu pembaca yang berdepan dengan masalah emosi dan jiwa. Justeru itu, biblioterapi mampu menjadi satu platform untuk membantu pembaca lebih memahami bahawa mereka mampu merawat minda dan jiwa mereka tanpa mengguna sebarang bantuan ubat-ubatan. Ia tidak melibatkan kos tinggi dan mampu mengawal diri dari mencari jalan keluar yang merugikan diri sendiri. Tambahan lagi, ia juga dapat membugarkan budaya dan minat membaca dalam kalangan masyarakat. 

Membaca boleh menukar perasaan yang suram dan kelam kepada ceria dan bahagia. Membaca juga mengubah cara kita memandang sesuatu, menukar perspektif dan menganjak paradigma. Justeru melalui membaca juga akan memberikan kesan ke arah pembentukan modal insan yang bermaklumat dan mulia. Sesuatu yang dahulu kita nilai sebagai masalah, mungkin kini bukan lagi perkara besar dengan asbab membaca. 

Akhir kalam, sesungguhnya Allah menyentuh dan mempengaruhi setiap diri Muslim, tanpa membezakan antara jantina. Semuanya sama sahaja. Al-Quran telah berjaya mengubah masyarakat keseluruhannya termasuklah lelaki dan wanita. Hasilnya, al-Quran berjaya mengubah seluruh kehidupan daripada kegelapan yang meresahkan kepada cahaya Islam yang mendamaikan. Al-Quran juga adalah kitab yang terbaik sebagai terapi merawat jiwa dan hati. Maka bacalah ...

 

Antara bahan bacaan yang sesuai sebagai terapi yang terdapat di PSAS adalah : 

            

Asrizal Aris. (2018, April 24). 4.2 juta kemurungan. Harian Metro, Retrieved from               https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/04/223900/42-juta-kemurungan

Beatty, William K. (1962). A Historical Review of Bibliotherapy. Library Trends 11 (2) 1962 :  Bibliotherapy : 106-117. Retrieved from https://www.ideals.illinois.edu/                   bitstream/handle/2142/6050/librarytrendsv11i2c_opt.pdf?sequence=1&isAllowed=y

Crothers, S. McChord. (1916, August). A literary clinic. Atlantic Monthly, no.118, 291-201. Retrieved from https://www.unz.com/print/AtlanticMonthly-1916sep-00291

Dovey, Ceridwen. (2015, June). Can reading make you happier?. The Neworker. Retrived from  https://www.newyorker.com/culture/cultural-comment/can-reading-make-you-happier

Heath, M. A., Sheen, D., Leavy, D., Young, E. L., & Money, K. (2005). Bibliotherapy : A  resource to facilitate emotional healing and growth. School Psychology International, 26, 563-580. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/258189177

Husna Hassan. (2019, April). Penawar nadir bagi murung. Solusi, no.125, 18-20.

Pehrsson, D. E., & McMillen, P. (2007). Bibliotherapy: Overview and implications for counselors (ACAPCD-02). Alexandria, VA: American Counseling Association. Retrieved from https://www.counseling.org/Resources/Library/ACA%20Digests/ACAPCD-02.pdf

Rafidah Abdul Aziz. (2019).Biblioterapi : Penyembuhan Jiwa dan hati melalui pembacaan. [Powerpoint slides]. 

Date of Input: 28/04/2020 | Updated: 02/06/2022 | j_mohdshahril

MEDIA SHARING

SULTAN ABDUL SAMAD LIBRARY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEZQAB~