MALAYSIAN OPEN SCIENCE EXCELLENCE AWARDS (MOSEA) 2026 HONORS OPEN ACCESS EXCELLENCE AND HIGH-IMPACT RESEARCH | SULTAN ABDUL SAMAD LIBRARY 127
» NEWS » MALAYSIAN OPEN SCIENCE EXCELLENCE AWARDS (MOSEA) 2026 HONORS OPEN ACCESS EXCELLENCE AND HIGH-IMPACT RESEARCH

MALAYSIAN OPEN SCIENCE EXCELLENCE AWARDS (MOSEA) 2026 HONORS OPEN ACCESS EXCELLENCE AND HIGH-IMPACT RESEARCH

PUTRAJAYA, 9 Julai 2026 - Majlis Anugerah Kecemerlangan Sains Terbuka Malaysia (Malaysian Open Science Excellence Awards - MOSEA) 2026 telah diraikan secara rasmi hari ini di Hotel Palm Garden, Putrajaya. Majlis yang dianjurkan oleh Springer Nature dengan kerjasama Konsortium Sumber Elektronik Pengajian Tinggi (KONSEPt) dan dihoskan bersama oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) itu telah dihadiri oleh barisan kepimpinan institusi pengajian tinggi, para penyelidik, ketua pustakawan serta wakil dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.

Dimangkinkan oleh Perjanjian Transformatif KONSEPt-Springer Nature (2025), MOSEA memberi pengiktirafan kepada para penyelidik dan institusi yang telah memperkasa penerbitan Akses Terbuka (OA). Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama, meraikan para penulis dan institusi cemerlang yang telah memacu sains terbuka, merapatkan jurang kebolehcapaian ilmu, meningkatkan impak rujukan akademik, serta memperkukuh keterlihatan hasil penyelidikan Malaysia di persada antarabangsa.

Dalam ucapan pembukaan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Zainal Amin bin Ayub menegaskan bahawa sains terbuka membawa komitmen yang lebih luas berbanding sekadar akses penerbitan percuma.

“Sains terbuka bukan lagi sekadar memberi akses percuma kepada penerbitan akademik. Ia mencerminkan komitmen yang lebih luas terhadap ketelusan, keterangkuman, kebertanggungjawaban, serta penyelidikan yang beretika. Pendekatan ini membolehkan para penyelidik bekerjasama merentasi pelbagai disiplin, institusi, dan sempadan, di samping memastikan dapatan penyelidikan dapat menyumbang secara langsung kepada pembentukan dasar berasaskan bukti, inovasi industri, dan kesejahteraan masyarakat,” kata beliau.

 Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencatatkan pencapaian cemerlang dengan merangkul dua anugerah utama dalam kategori penulis:

  •  Artikel Akses Terbuka Terbaik Kategori Sains Perubatan & Kesihatan: Dianugerahkan kepada Profesor Dr. Soh Kim Geok, Fakulti Pengajian Pendidikan, menerusi kajian bertajuk “Effects of strength training on neuromuscular adaptations in the development of maximal strength.”
  • Artikel Akses Terbuka Terbaik Kategori Sains Fizikal & Matematik: Dianugerahkan kepada Nur Faseeha Suhaimi, Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, menerusi kajian bertajuk “Classroom indoor air quality and its association with sick Building Syndrome (SBS) symptoms in a Malaysian university setting.”

 

Selain kejayaan dalam kategori penulis, UPM turut menerima penghargaan khas selaku tuan rumah bersama (co-host) atas komitmen dan peranannya dalam menjayakan penganjuran MOSEA 2026. Cenderamata penghargaan telah disampaikan kepada Cik Haslina Abu Seman @ Talib, Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), yang mewakili UPM.

MOSEA 2026 turut menyampaikan pengiktirafan merentasi tujuh kategori penulis mengikut bidang, termasuk Kejuruteraan, Sains Hayat, Sains Kemanusiaan & Kemasyarakatan, Ekonomi, Perniagaan & Pengurusan, serta Penyelidikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Bagi kategori institusi, anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Kecemerlangan DEI Akses Terbuka Springer Nature KONSEPt dan Kempen Perpustakaan Paling Inovatif, merangkumi pilihan juri profesional serta pilihan pengunjung (People’s Choice Award).

Penganjuran MOSEA 2026 mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa amalan sains terbuka, mengiktiraf kecemerlangan penyelidikan dan meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

*Senarai lengkap penerima anugerah bagi kesemua kategori penulis dan institusi boleh dirujuk melalui laman web rasmi Kempen Springer Nature MOSEA.

https://preview.springernature.com/gp/researchers/campaigns/MOSEA2026/award-details

 

 
Ketua-ketua Pustakawan memegang sijil penyertaan bagi
Anugerah Kempen Perpustakaan Paling Inovatif
 
 
Wakil Springer Nature bersama Jawatankuasa Penganjur daripada
Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM.

 

 

 

 

Date of Input: 27/07/2026 | Updated: 28/07/2026 | amiruliqhmal

MEDIA SHARING

SULTAN ABDUL SAMAD LIBRARY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 4745
-
X, (08:10:45pm-08:15:45pm, 12 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]