COVID-19: UPM Virtual Library Services | SULTAN ABDUL SAMAD LIBRARY
» NEWS » COVID-19: UPM Virtual Library Services

COVID-19: UPM Virtual Library Services

Disediakan oleh: Azwana Ab. Rahman, Muizzudin Kaspol & Mohd Dasuki Sahak

 

Serdang, April 7, 2020 - Semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di seluruh negara pada 18hb Mac 2020,  Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memainkan peranan penting sebagai penyedia sumber maklumat secara atas talian kepada warga UPM bagi meneruskan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang dijalankan secara maya pada ketika ini.

 

Perpustakaan Sultan Abdul Samad sentiasa bersiapsiaga dan memastikan semua perkhidmatan secara dalam talian yang sediakan oleh perpustakaan berfungsi dengan baik agar dapat diakses oleh semua warga UPM tanpa sebarang gangguan.

 

Menurut Ketua Pustakawan PSAS, Encik Muzaffar Shah Kassim, sepanjang tempoh PKP ini, lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan maya yang disediakan oleh Perpustakaan Sultan Abdul Samad untuk mendapatkan maklumat. Ini menunjukkan pentingnya perpustakaan kepada pelajar dan pensyarah UPM dan ianya dapat dizahirkan dengan peningkatan sebanyak 11.21% jumlah pengunjung maya dan akses kepada portal-portal maklumat yang dibangunkan oleh PSAS, iaitu sebanyak 104,252 pengunjung pada bulan Mac 2020 berbanding 93,743 pengunjung pada bulan Februari 2020. Manakala jumlah hits telah meningkat sebanyak 50.93% pada bulan Mac 2020, iaitu peningkatan daripada 1,161,897 hits pada bulan Februari kepada 1,753,617 hits pada bulan Mac.

 

Sepanjang tempoh PKP ini, walaupun semua perkhidmatan perpustakaan secara fizikal telah ditutup, pelajar dan pensyarah masih boleh mengakses pelbagai maklumat ilmiah yang dilanggan oleh UPM secara atas talian melalui Portal EZAccess di alamat URL: http://ezaccess.upm.edu.my/ dengan menggunakan akaun UPM-ID masing-masing.

 

“Jumlah pengunjung maya yang mengakses Portal EZAccess untuk mendapatkan artikel, jurnal dan kandungan bahan yang dilanggan oleh UPM turut menunjukkan peningkatan pada bulan Mac iaitu 22.05% bersamaan dengan 26,039 pengunjung berbanding 21,335 pengunjung pada bulan Februari. Jumlah hits juga telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara pada bulan Mac iaitu 63.83% berbanding bulan Februari bersamaan 1,499,820 hits berbanding  915,461 hits pada bulan Februari ,” katanya.  

Menurut Muzaffar Shah Kassim lagi, PSAS telah membangunkan satu portal pencarian maklumat yang dinamakan “Discovery@Lib” bagi memudahkan pelajar dan pensyarah mencari maklumat dan bahan perpustakaan dalam pelbagai bidang melalui satu portal pen carian sahaja di URL - http://discoverylib.upm.edu.my.

 

“Selain itu, PSAS mempunyai pelbagai sumber maklumat elektronik yang boleh diakses melalui Laman Web PSAS seperti pangkalan data, portal UPMIR, portal UPM eTesis,portal sumber maklumat pertanian (AGRIS dan MyAGRIC) dan jurnal akses terbuka. Pautan maklumat dan pameran maya mengenai wabak COVID-19 juga boleh diperolehi dalam laman web ini.

 

Muzaffar Shah Kassim turut berkata, Program Literasi Maklumat yang sering diadakan oleh pustakawan-pustakawan PSAS merupakan antara faktor utama yang membantu pelajar dan pensyarah UPM “celik maklumat” dan mempunyai kemahiran mengakses pelbagai sumber maklumat ilmiah secara atas talian.

 

“Walau bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, pelajar dan pensyarah masih boleh mendapatkan bantuan pustakawan melalui Perkhidmatan Rujukan secara “Live Chat” menerusi Aplikasi Telefon Pintar iaitu “PSAS UPM Mobile Application”, WhatsApp serta panggilan telefon yang beroperasi pada setiap hari bekerja mulai jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Melalui aplikasi ini, pelajar dan pensyarah boleh berinteraksi secara langsung dengan Pustakawan mengenai sebarang masalah berkaitan pencarian maklumat.

 

“Manakala sepanjang tempoh PKP ini, pengguna perpustakaan tidak perlu risau mengenai denda lewat memulangkan buku perpustakaan. Pengguna hanya perlu menyimpan buku tersebut dan memulangkannya apabila perpustakaan kembali dibuka kelak.

 

“Apa yang penting, semua pengguna disarankan untuk kekal berada di rumah atau Stay at home dan mengakses maklumat yang diperlukan secara maya.  Pihak perpustakaan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan melalui laman web dan media sosial Perpustakaan Sultan Abdul Samad. Pengguna boleh menyemak maklumat terkini mengenai perpustakaan dari masa ke semasa melalui media tersebut. ,” katanya.

Date of Input: 27/04/2020 | Updated: 28/04/2020 | muizzudin

MEDIA SHARING

SULTAN ABDUL SAMAD LIBRARY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
013-385 5880
03-9769 4747
C1596971476