Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UPM | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UPM

Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UPM

Oleh: Norhazura Hamzah (Pustakawan Kanan, Bahagian Media, Arkib dan Pemuliharaan), Salmah Abdullah (Ketua, Bahagian Media, Arkib dan Pemuliharaan) dan Norfaezah Khomsan (Pustakawan Kanan, Bahagian Korporat dan Latihan Staf)

 

Serdang, 27 Jun - Perpustakaan Sultan Abdul Samad telah meraikan sambutan Hari Arkib Antarabangsa pada 11 Mei hingga 24 Jun 2022 bertemakan ‘#ArchivesAreYou’ dengan pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan.

 

Ucapan perasmian Hari Arkib Antarabangsa peringkat UPM oleh Ketua Pustakawan UPM Encik Muzaffar Shah Kassim

 

 

Majlis perasmian Hari Arkib Antarabangsa yang telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan UPM, Encik Muzaffar Shah Kassim pada 13hb Jun 2022 telah berlangsung dengan meriah dengan tujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pengurusan rekod dan arkib. Majlis perasmian turut diserikan dengan sesi Bicara Pakar: Pulau Batu Puteh dari Sudut Pandang Pengurusan Rekod yang telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Arkib Negara Malaysia, Tuan Haji Zaidin Mohd Noor. Melalui perkongsian beliau, rekod-rekod yang mempunyai nilai-nilai pentadbiran, perundangan, kewangan, penyelidikan, sejarah dan kebangsaan perlu dinilai sama ada perlu disimpan sementara atau kekal di Arkib Negara Malaysia. Proses penilaian rekod ini adalah penting bagi memastikan rekod yang bernilai dapat dipelihara dan menjadi sumber rujukan penyelidik semasa dan masa hadapan. Bersempena dengan majlis perasmian tersebut, portal Putra Archives telah dilancarkan bagi memudahkan akses pencarian kepada bahan-bahan di Arkib UPM. Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Penulisan Esei yang telah dimenangi oleh Puan Norhafizah Abdul Latif. Sebelum bersurai, para tetamu telah melawat ke Pameran bertemakan ‘#ArchivesAreYou’ di Ruang Legar Aras 1, PSAS.

 

Perkongsian menarik Sesi Bicara Pakar dari Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Arkib Negara Malaysia, Tuan Haji Zaidin Mohd Noor

 

Seramai 99 orang peserta telah hadir secara fizikal dan di dalam talian turut dimaklumkan pelbagai aktiviti yang berlangsung sepanjang sambutan Hari Arkib Antarabangsa, antaranya; Tayangan Wayang Pacak, Hari Konsultasi Kempen Derma Bahan, Kempen Kesedaran Pengurusan Rekod, Uji Pengetahuan Trivia Sejarah Anda, Taklimat Pelupusan Rekod dan Bengkel Membaiki Buku Rosak.

 

Lawatan ke Pameran #ArchivesAreYou

 

 

Tayangan Wayang Pacak telah memainkan filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong dan Zaleha Ayam Patah berjaya mendapat sambutan dari kalangan pelajar dan staf UPM. Melalui tayangan ini, peserta dapat mengimbau kembali kenangan menonton wayang pacak dan memperoleh semangat dan nilai patriotisme yang tinggi melalui tontonan filem bersejarah. Manakala, bagi Bengkel Membaiki Buku Rosak yang telah diadakan pada 15hb Jun 2022 juga telah mendapat sambutan bukan sahaja dari warga UPM malahan juga dari organisasi luar seperti Bank Negara Malaysia dan Universiti Selangor (UNISEL). Peserta bengkel telah didedahkan dengan teori dan latihan amali bagi teknik membaiki buku rosak yang dibimbing oleh fasilitator berkemahiran.

 

Slot tayangan Wayang Pacak bagi semua warga UPM

 

Sesi amali peserta Bengkel Membaiki Buku Rosak di Bahagian Media, Arkib dan Pemuliharaan, PSAS

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hari Arkib Antarabangsa UPM, Puan Salmah Abdullah sambutan Hari Arkib Antarabangsa yang julung kalinya diadakan ini telah mencapai objektif yang diharapkan iaitu menonjolkan kepelbagaian bahan arkib dan meningkatkan keterlihatan peranan arkib secara meluas. Diharap program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berterusan sebagai inisiatif perpustakaan selaku penyedia maklumat terkini kepada warga universiti dan umum.

Tarikh Input: 05/07/2022 | Kemaskini: 05/07/2022 | j_mohdshahril

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEYPAe~