Program Pendidikan Yayasan Bank Rakyat Bersama UPM 2022 | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Program Pendidikan Yayasan Bank Rakyat Bersama UPM 2022

Program Pendidikan Yayasan Bank Rakyat Bersama UPM 2022

oleh Mohd Dasuki Sahak dan Rusniah Sayuti

 

SERDANG, 7 Oktober – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan pelancaran “Program Pendidikan Yayasan Bank Rakyat Bersama UPM 2022” di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS). Program ini meliputi pelancaran Projek Khidmat Komuniti (CSR) YBR iaitu “Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner” dan pemberian Bantuan Awal Pengajian (BAP) 2022 sebanyak RM100,000.00 kepada 100 orang pelajar UPM.

Majlis pelancaran ini dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, YBhg. Datuk Dr. Haji Abd Rahman Bakri dan Naib Canselor UPM, YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman serta Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, pegawai dan pelajar UPM.

“SIR Corner” merupakan Projek Khidmat Komuniti (CSR) YBR dalam bentuk Perpustakaan Digital Bank Rakyat yang berkonsepkan 80% digital dan 20% fizikal. Lebih 100 ribu koleksi digital boleh diakses melalui tujuh pangkalan data yang merangkumi subjek seperti perniagaan, ekonomi, kewangan dan lain-lain serta bacaan umum. Set fizikal “SIR Corner” berupa dua unit komputer dan satu set perabot diserahkan kepada PSAS bagi memberi keselesaan dan memudahkan pengguna mengaksess pangkalan data di “SIR Corner”.

 

Naib Canselor UPM, YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyampaikan ucapan aluan

 

 

Dalam ucapan aluannya, YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman memaklumkan bahawa sumbangan “SIR Corner” akan menjadi sebahagian daripada sumber maklumat yang amat bermakna kepada warga UPM dan akan meningkatkan lagi statistik kunjungan maya Perpustakaan UPM.

Manakala, pemberian BAP merupakan sumbangan secara “one off” sebanyak RM1,000.00 seorang kepada 100 orang pelajar UPM daripada keluarga yang kurang berkemampuan seperti kriteria yang ditetapkan oleh pihak YBR.  YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman juga berkata, sumbangan BAP kepada pelajar UPM akan dapat mengurangkan sedikit bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar sebelum mendapat mana-mana bantuan dalam meneruskan pengajian mereka di UPM.

 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, YBhg. Datuk Dr. Haji Abd Rahman Bakri menyampaikan ucapan dan merasmikan pelancaran “SIR Corner” dan pemberian Bantuan Awal Pengajian (BAP) 2022

 

 

YBhg. Datuk Dr. Haji Abd Rahman Bakri pula dalam ucapan perasmian beliau menjelaskan UPM merupakan antara 18 Institut Pengajian Tinggi terpilih di seluruh Malaysia untuk menerima sumbangan “SIR Corner” yang membabitkan peruntukan sebanyak RM270,000.00. Beliau turut menegaskan bahawa selain “SIR Corner” dan  sumbangan BAP, pihak YBR juga sentiasa bersedia menawarkan sumbangan khas kepada pihak UPM jika terdapat kes-kes kecemasan yang melibatkan kebajikan pelajar.

 

Tetamu kehormat bersama penerima BAP 2022

 

Lawatan ke “SIR Corner” oleh tetamu kehormat

 

 

 

 

Tarikh Input: 12/10/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | j_mohdshahril

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXDcVAk~