Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara Di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia

Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia

Oleh Azwana Ab. Rahman dan Mohd Dasuki Sahak

SERDANG,14 September - Majlis Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia disambut meriah dengan pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara seperti bacaan ikrar, tayangan video, penyerahan bahan promosi, kuiz, nyanyian lagu dan pameran.

Program jerayawara ini merupakan program kerjasama antara pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kementerian Perpaduan Negara bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Program Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara ini telah diadakan dalam keadaan norma baharu di 33 lokasi perpustakaan dan sekolah yang terpilih di Malaysia. Perpustakaan Sultan Abdul Samad merupakan antara lokasi terpilih bagi menjayakan Jerayawara Semarakkan Sambutan 50 tahun Rukun Negara. Program ini antara lain bertujuan menyemarakkan sambutan 50 tahun Rukun Negara di UPM.

Menurut Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Encik Muzaffar Shah Kassim, amalan bacaan ikrar Rukun Negara telah menjadi rutin di zaman persekolahan selepas diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV.

Jelas beliau, amalan ini adalah bertepatan dengan saranan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein agar Rukun Negara diamalkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah dan tidak menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna.

Menurut beliau, penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara merupakan tunjang utama kepada perpaduan dan penyatuan rakyat Malaysia dan pemilihan perpustakaan sebagai lokasi Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara adalah sangat bertepatan dengan fungsi perpustakaan sebagai pusat penyebaran maklumat.

“Perpustakaan sebagai pusat komuniti setempat mampu menyebarkan maklumat dan risalah mengenai prinsip-prinsip Rukun Negara dan kenegaraan serta penganjuran pelbagai aktiviti yang memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan cintakan tanah air dan prinsip-prinsip Rukun Negara, kami di UPM sentiasa menyokong penuh program-program seumpama ini” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara, Puan Hasnita Ibrahim, Pengurus Maklumat, Bernama menjelaskan program jerayawara ini bermula sejak 24 Ogos 2020 dengan melibatkan 33 lokasi terpilih di seluruh negara dan berakhir pada 15 September 2020. Pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara dipromosikan sepanjang program jelajah ini seperti ‘Insta Challenge’, ‘Rukun Negara Hour’, Webinar, ‘e-Treasure Hunt’, Bual Bicara Bersiri dan dokumentari.

 

Bacaan Ikrar Rukun Negara oleh tetamu dan pegawai-pegawai
Perpustakaan Sultan Abdul Samad

Pengurus Maklumat Bernama, Puan Hasnita Ibrahim menyerahkan bahan promosi berkaitan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara kepada Encik Muzaffar Shah Kassim, Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tetamu-tetamu melawat pameran Rukun Negara yang
diadakan oleh pihak Perpustakaan Sultan Abdul Samad

Tarikh Input: 29/09/2020 | Kemaskini: 29/09/2020 | syafini

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
CULeHA:07:58