Ulasan Buku: S.M.I.LE: Skil, Motivasi, Inspirasi, Luar Biasa, Elegan | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Ulasan Buku: S.M.I.LE: Skil, Motivasi, Inspirasi, Luar Biasa, Elegan

Ulasan Buku: S.M.I.LE: Skil, Motivasi, Inspirasi, Luar Biasa, Elegan

Oleh: Nabilah Huda binti Pa'su

MAKLUMAT BUKU
Judul buku: S.M.I.LE: Skil, Motivasi, Inspirasi, Luar Biasa, Elegan
Pengarang: Irma Hasmie, Zamri Mohamad
Tahun diterbitkan: 2012
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.
ISBN: 9789674110536
Bilangan muka surat: 128
Bahasa: Bahasa Melayu
Kategori: Motivasi

ULASAN BUKU
Bilangan perkataan: 493 patah perkataan

Pendahuluan
Melihat pada tajuk sahaja sudah membuatkan pembaca tersenyum. Pengarang bijak mengadaptasikan perkataan S.M.I.LE. dengan ciri-ciri yang memberi motivasi dan sesuai dengan kehendak pembaca. Hal ini memberi dorongan kepada pembaca untuk menggali isi kandungan naskhah ini. Di sebalik senyuman terkandung seribu satu makna yang berbeza kepada setiap insan. Senyuman adalah satu pemulaan dalam sesebuah komunikasi bagi sang pemberi dan sang penerima.

Isi Kandungan
S.M.I.L.E. adalah sebuah tinta motivasi yang mengandungi 16 buah cerita pendek namun sarat dengan ilmu positif dan memberi dorongan kepada para pembaca untuk membuat kebaikan. Naskhah ini diterapkan dengan teknik penceritaan semula berdasarkan kisah benar dan hasil daripada pengalaman yang dialami oleh pengarang sendiri. Irma hasmie dan Zamrie Mohamad bijak membuatkan pembaca terus leka dengan cerita-cerita yang dikisahkan di samping gaya penceritaan yang santai dan mudah untuk difahami. Setiap kisah yang disampaikan adalah berbeza namun mempunyai nilai yang hampir sama iaitu positifkan diri dan perbaiki diri.
Setiap kisah yang dipaparkan tidak mempunyai konflik yang keterlaluan dan terus kepada maksud yang ingin dikongsikan. Setiap kisah ini adalah umpama kisah sampingan yang mungkin pernah berlaku dalam diri setiap daripada kita. Yang membezakan adalah sejauh mana kita mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut. Terdapat pelbagai ilmu kemasyarakatan yang dikongsikan oleh pengarang seperti contoh insurans sosial yang mana ianya berkait dengan tali silaturahim dan kata-kata yang dianggap kecil maknanya tetapi mampu merubah hidup seseorang mengikut cara pentafsiran masing-masing
Naskhah ini ditatarias dengan ilustrasi yang ringkas dan bersesuaian dengan setiap tajuk yang dikisahkan. Ia tidak memerlukan penggunaan warna yang banyak sebaliknya penggunaan corak kotak yang digunakan membahagikan maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang.

Kesimpulan
Benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak cinta. Jika tidak dibaca naskhah ini, manakan dapat pengajarannya. Naskhah ini menerangkan bahawa semakin dewasa kita, semakin banyak tanggungjawab yang akan kita pegang dan semakin banyak kita bergaul dengan kenalan baru, semakin banyak ilmu yang akan kita peroleh. Hal ini demikian kerana setiap orang akan melalui pengalaman hidup yang berbeza.
Rakan-rakan di alam pekerjaan adalah berbeza dengan rakan-rakan yang kita kenali semasa di alam persekolahan. Perkenalan dengan rakan baru tidak perlu mengira peringkat umur dan adalah lebih baik jika kita dapat mengenali mereka tanpa perlu menjangkakan pangkat dan darjat mereka pada masa akan datang. Dalam erti kata lain, kita perlu berani membina insurans sosial dan jalinan silaturahim yang ikhlas untuk mengukuhkan tali persaudaraan. Dalam kita sibuk bekerja, kita juga perlu luangkan masa mengenali jiran kita dan melibatkan diri dalam aktiviti kejiranan kerana kelak jika kita dalam kesusahan, mereka antara orang terawal yang akan menghulurkan bantuan.
Selain itu, pengarang menekankan bahawa ucapan salam dan senyuman mampu mengubah emosi seseorang. Memberi salam adalah bahasa syurga. Apabila kita memberi salam, seolah-olah memberi gambaran bahawa kita sedar akan kewujudan orang lain dan membuatkannya berasa dihargai. Menjadi orang yang mula-mula memberi salam juga dapat memberi petanda bahawa kita adalah seorang yang positif dan berfikiran terbuka. Amalan ini kita boleh praktikan bermula di tempat kerja kerana tempat kerja adalah tempat yang paling kerap kita pergi dan berjumpa dengan pelbagai jenis lapisan masyarakat.

Tarikh Input: 21/02/2022 | Kemaskini: 21/02/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXDdFAz~