Sejarah Sultan Abdul Samad | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» MENGENAI » Maklumat Korporat » Sejarah Sultan Abdul Samad

Sejarah Sultan Abdul Samad

 

 

Sultan Sir Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah telah diputerakan pada tahun 1804 di Bukit Melawati, Selangor. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-empat pada tahun 1857 selepas berlaku beberapa pertelingkahan untuk melantik pengganti sultan. Sultan Selangor ke-tiga, Sultan Muhammad Shah mangkat tanpa melantik pewaris takhta.

PERWATAKAN BAGINDA

Semasa pemerintahan Baginda, berlaku perang saudara di Selangor, tetapi Baginda dapat
mengawal keadaan dengan penuh kesabaran.
Sultan Abdul Samad secara terbuka bergaul dengan rakyat jelata dengan mengambil kesempatan berbual di pasar-pasar dan semasa Baginda bersiar-siar.

PEMERINTAHAN BAGINDA

Selepas berlakunya beberapa serangan lanun di Negeri Selangor, Andrew Clarke menugaskan Frank Swettenham sebagai penasihat seumur hidup kepada Sultan Abdul Samad pada bulan Ogos 1874. Sultan Abdul Samad menerima James Guthrie Davidson sebagai Residen British pertama di negeri Selangor pada tahun 1875. Pada bulan Oktober tahun yang sama, Baginda mengutus surat kepada Andrew Clarke menawarkan supayaNegeri Selangor diletakkan di bawah naungan British. Ini adalah titik permulaan penglibatan British dalam hal-ehwal pentadbiran Negeri Selangor.

Semasa pemerintahan Baginda, daerah Semenyih, Beranang dan Broga diletak di bawah kuasa Selangor. Walau bagaimanapun, Lukut diserahkan kepada Dato' Kelana dari Sungai Ujong pada 30hb Julai 1880. Jugra dijadikan ibu negeri di raja Negeri Selangor apabila Sultan Abdul Samad membina Istana Jugra dan bersemayam di Jugra pada tahun 1875. Ibu Negeri Selangor berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur pada tahun 1880. Baginda mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai ibu Negeri Selangor.

Majlis Mesyuarat Negeri telah ditubuhkan pada tahun 1877 dan telah dijadikan sebagai medan untuk membincangkan hal-ehwal Melayu. Baginda melantik kerabat diraja untuk menjalankan tugas-tugas rasmi. Kerajaan memperkenalkan sistem pendaftaran tanah dan mengutip cukai pintu.

Pada bulan Julai 1896, Kerajaan Selangor melantik Kerajaan British untuk menubuhkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Setahun kemudian, Sultan Abdul Samad menghadiri Persidangan Raja-Raja Melayu Pertama bagi negeri-negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang, yang berlangsung di Kuala Kangsar, Perak.

KEMANGKATAN

Sultan Abdul Samad mangkat pada 6hb Februari 1898, pada usia 93 tahun, setelah memerintah selama 41 tahun. Baginda disemadikan di makam Jugra. Baginda meninggalkan 6 orang putera dan 6 orang puteri hasil daripada perkongsian hidup dengan 2 orangpermaisuri. Raja Muda Musa, yang dibayangkan menjadi pengganti takhta, mangkat pada tahun 1884. Pewaris takhta seterusnya ialah putera sulong kepada Raja Muda Musa, iaitu Raja Sulaiman .

SUMBANGAN BAGINDA

Pengangkutan

Pada tahun 1890, landasan kereta api telah dibina menghubungkan Kuala Lumpur, Bukit Kuda dan Klang. Selepas lombong bijih dibuka, landasan kereta api disambungkan ke Rawang dan Kuala Kubu dan di Selatan disambungkan ke Pudu dan Sungai Besi. Jalan raya juga telah dibina menghubungkan kampung ke kawasan lombong.

Pendidikan

Pada tahun 1893, Baginda telah menyumbangkan sejumlah wang bagi membantu mengasas penubuhan salah satu sekolah utama di Malaysia, iaitu Victoria Institution di Kuala Lumpur. Sultan Abdul Samad telah dijadikan salah seorang penaung sekolah tersebut. Tujuanpenubuhan sekolah ini ialah untuk memberi pendidikan Bahasa Inggeris kepada anak anak tempatan bagi menjawat jawatan dalam pentadbiran Negeri Selangor. Sultan Abdul Samad juga telah mendirikan sebuah sekolah Melayu di Bandar Termasa (Langat) dengan perbelanjaan  Baginda sendiri.

Pertanian

Sultan Abdul Samad dengan putera Baginda, Raja Kahar, mengusahakan tanaman buah-buahan di Jugra. Baginda juga menanam pelbagai tanaman lain seperti tebu, padi, kelapa dan pinang di atas 1,000 ekar tanah. Baginda memberi pinjaman kewangan kepada pesawah padi bagi membolehkan mereka memulakan perusahaan.

LEGASI

Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad di Petaling Jaya dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad di Universiti Putra Malaysia diberi nama sempena nama Baginda.

(SOURCE: WIKIPEDIA)

 

Kemaskini:: 20/04/2022 [j_mohdshahril]

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXDcSAc~