Program Bicara Kemerdekaan: Keluarga Malaysia Teguh Bersama | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Program Bicara Kemerdekaan: Keluarga Malaysia Teguh Bersama

Program Bicara Kemerdekaan: Keluarga Malaysia Teguh Bersama

Oleh: Norfaezah Khomsan dan Nazibah Kamaruddin

Serdang, 6 Sept - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menganjurkan Program Bicara Kemerdekaan dengan mengangkat tema sambutan Hari Kebangsaan ke-65 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ berlangsung secara meriah bertempat di Bilik Termasa PSAS.

Penceramah jemputan, Puan Siti Fatimah Abdul Ghani, Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, UPM atau lebih mesra dengan sapaan Puan CTF telah mengendalikan sesi bicara selama 2 jam. Melalui pendekatan komunikasi dua hala dan kerjasama kumpulan, beliau telah memberi inspirasi kepada para peserta untuk sentiasa fokus dalam mencapai matlamat di dalam kerjaya mahupun kehidupan. Peserta dibimbing untuk mengenali potensi diri yang akan menyumbang kepada keteguhan dan kebersamaan sebagai keluarga di PSAS. Seramai 69 orang peserta telah hadir dan beroleh manfaat dari program ini.

 

Penceramah menyampaikan perkongsian motivasi yang menarik

 

Majlis diteruskan dengan ucapan kemerdekaan oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (Perkhidmatan) yang sedang menjalankan tugas Ketua Pustakawan, Cik Haslina Abu Seman@Talib. Melalui ucapannya, beliau menyeru agar kita tidak lalai dan leka dengan kemerdekaan yang telah dicapai. Beliau menyarankan agar kita mempertahankan kemerdekaan ini melalui ilmu pengetahuan dan semangat nasionalisme yang tinggi untuk membangunkan negara seiring dengan hasrat UPM “Sederap Melangkah Menuju Al-Falah”.

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (Perkhidmatan), Cik Haslina Abu Seman@Talib menyampaikan ucapan kemerdekaan.

 

 

Selanjutnya, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah Pertandingan EKSA PSAS 2022. Bagi kategori zon terbaik telah dirangkul oleh Zon Raja Muda Musa, manakala Sudut Informasi Terbaik dimenangi oleh Zon Raja Lumu. Manakala, bagi Sudut Go Green Terbaik telah dimenangi oleh Zon Raja Sulaiman. Pengiktirafan juga diberikan kepada Pemenang Ruang Kerja Terbaik, Encik Khoirul Asrimin Md. Nor dan Pemenang Bilik Terbaik, Puan Zuhaini Abdul Samad. Kemeriahan diteruskan dengan acara kemuncak iaitu penyampaian hadiah Pemenang Pertandingan Tiktok Merdeka PSAS dengan kejuaraan dirangkul oleh Zon Raja Muda Musa. Manakala Zon Raja Ibrahim dan Puan Nuraida Ibrahim di tempat kedua dan ketiga. Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Cik Haslina Abu Seman@Talib dan majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para peserta.

 

 
Penyampaian anugerah Zon Terbaik EKSA kepada Ketua Zon Raja Muda Musa   Pemenang bagi Sudut Informasi Terbaik EKSA 2022 oleh Zon Raja Lumu
     
 
Juara Pertandingan Tiktok Merdeka dirangkul oleh Zon Raja Muda Musa   Gambar berkumpulan peserta Program Bicara Kemerdekaan: Keluarga Malaysia Teguh Bersama
     

Tarikh Input: 21/09/2022 | Kemaskini: 21/09/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
BVJbCAu:02:07