Perpustakaan UPM Bangunkan Perpustakaan Digital SDAR | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» BERITA » Perpustakaan UPM bangunkan Perpustakaan Digital SDAR

Perpustakaan UPM bangunkan Perpustakaan Digital SDAR

Perpustakaan UPM bangunkan Perpustakaan Digital Sekolah Dato’ Abdul Razak

Oleh Shaifol Yazam Mat, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan; Azwana Ab Rahman, Penolong Ketua Pustakawan; dan Mohd Dasuki Sahak, Pustakawan Kanan

Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia


Seremban, 1 OKT
- Pada masa kini, kepentingan Perpustakaan Digital di sekolah semakin mendapat perhatian sebagai kesinambungan perkhidmatan perpustakaan fizikal sedia ada.

Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan Perpustakaan Digital sebagai satu keperluan Standard “School of Global Excellence” (sekolah berprestasi tinggi). Oleh itu, Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) sebagai sebuah sekolah berasrama penuh berprestasi tinggi di Seremban telah mengambil initiatif membangunkan Portal Perpustakaan Digital di SDAR.

Bagi merealisasikan pembangunan portal ini, pihak SDAR telah memohon bantuan kepakaran Pustakawan dari Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membangunkan Portal Perpustakaan Digital sejak awal bulan Januari tahun ini.

Menurut Pengetua Sekolah Dato’ Abdul Razak, Encik Roslie Ahmad, keputusan mereka untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada PSAS adalah sangat tepat kerana PSAS sememangya mempunyai kepakaran dalam menghasilkan portal perpustakaan digital.

“Kami sangat menghargai bantuan yang diberikan oleh pihak PSAS dan berharap Perpustakaan Digital ini mampu menarik lebih ramai pelajar SDAR  mencintai dunia pembacaan seperti yang disasarkan oleh KPM dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Pusat Sumber Sekolah”. 

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Minggu Pusat Sumber Sekolah dan Pelancaran Portal Perpustakaan Digital Tun Hussein Onn, SDAR di Seremban pada 8hb Julai 2019. Turut hadir, Ketua Pustakawan PSAS, Encik Muzaffar Shah Kassim, pegawai-pegawai PSAS dan guru-guru SDAR.

Menurut Muzaffar Shah Kassim, kerjasama antara SDAR dan PSAS merupakan satu inisiatif PSAS yang julung kali diadakan dalam memperkasakan program khidmat masyarakat dan seterusnya memasyarakatkan universiti kepada komuniti.

“Dengan kepakaran dan pengalaman yang ada, Pustakawan PSAS berperanan membangunkan Portal Perpustakaan Digital yang mengandungi empat sumber maklumat utama iaitu pengurusan perpustakaan, perkhidmatan dan kemudahan, sumber elektronik dan panduan perpustakaan serta mengadakan kursus berkaitan portal kepada Guru dan Pengawas-Pengawas Pusat Sumber SDAR”, kata Muzaffar Shah Kassim.

 

          
Photo 1 : Pengetua SDAR menyampaikan replika “SDAR Love UPM” kepada Ketuas Pustakawan PSAS sebagai tanda penghargaan    Photo 2 : PSAS menyumbangkan sebanyak 100 buah buku kepada Pusat Sumber SDAR.
     
 
Photo 3: Ketua Pustakawan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Idea Terbaik Pusat Sumber Sekolah   Photo 4: Majlis Perasmian Minggu Pusat Sumber Sekolah dan Pelancaran Portal Perpustakaan Digital Tun Hussein Onn, SDAR


 

 

Tarikh Input: 08/10/2019 | Kemaskini: 31/10/2019 | syafini

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXEUBAG~