Ulasan Buku: Anak Muda Bebas Hutang | PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
» ARTIKEL » Ulasan Buku: Anak Muda Bebas Hutang

Ulasan Buku: Anak Muda Bebas Hutang

Oleh : Wan Mustaqimah binti Mohd Mazuky

 

MAKLUMAT BUKU

Judul Buku : Anak Muda Bebas Hutang

Pengarang : Dr. Haji Badrul Hisham Mohd Yusoff

Penerbit : PTS Publishing House Sdn. Bhd

ISBN : 978-967-481-228-7

Bilangan Muka Surat : 120 Halaman

Bahasa : Bahasa Melayu

Kategori : Hutang; Kewangan Peribadi

 

Ulasan Buku

Bilangan Perkataan : 652 patah perkataan

 

Pendahuluan

Pada zaman kini semua orang pasti akan mempunyai hutang. Realiti dalam hidup, ramai yang gagal, ramai yang bankrap, ramai hidup musnah kerana gagal mengurus hutang. Hendak tahu dan pandai mengurus hutang haruslah ada ilmu. Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu cara mengurus hutang adalah dengan memiliki hasil penulisan Dr. Haji Badrul Hisham Mohd Yusoff ini kerana ia sangat relevan untuk semua golongan terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan mahupun anak muda yang sudah berkeluarga dan bekerjaya. Paling tidak, selepas membaca isi kandungannya kita akan mendapat solusi dan beberapa idea bagaimana untuk mengurus hutang agar dapat mengelakkan diri dari belenggu hutang-piutang yang membebankan.

 

Isi Kandungan

Terdapat lapan bab utama yang diutarakan penulis, dimana ia mengandungi beberapa formula, tip, teknik, nota, dan perkongsian pengalaman untuk golongan muda khususnya supaya bebas daripada belenggu hutang. Gambar rajah serta jadual yang ringkas dan interaktif menjadikan buku ini mudah dibaca dan dihayati oleh pembaca. Pengalaman penulis banyak mengajar bahawa tidak ada jalan yang singkat dalam mencapai kebebasan kewangan yang diingini.

 

Di awal bab 2, penulis berkongsi formula menabung yang terbaik dan tujuh langkah untuk memulakan hidup bebas hutang walau apapun keupayaan status kewangan seseorang. Antaranya ialah mula menyimpan dana kecemasan sebanyak RM1000, membuat simpanan yang bersamaan dengan perbelanjaan 3 hingga 6 bulan dan membuat pelaburan untuk dana persaraan sekurang-kurangnya 15% daripada pendapatan. 

 

Sumber daripada petikan ayat Al-Quran, hadis dan kata-kata hikmah yang diselitkan adalah satu pendekatan yang menarik, sekaligus dapat membuatkan pembaca berfikir sejenak serta memberikan inspirasi apabila mengaitkan sesuatu topik itu dari perspektif Islam. Di antara petikan kata-kata dan hadis yang sangat menusuk jiwa adalah:

 

Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata: “Roh orang Mukmin akan tergantung dengan sebab hutangnya sehingga diselesaikan hutang tersebut” (Hadis direkodkan oleh Ahmad, Al Tirmizi, Ibn Majah & Al-Hakim)

“Seseorang pekerja apabila ia mentaati Allah dan majikannya, nescaya ia masuk ke dalam syurga lebih dahulu dari majikannya selama 70 tahun”. (Hadis direkodkan oleh At-Thabrani)

Orang yang kaya sebenarnya adalah orang yang kaya jiwanya iaitu tidak bakhil atau kedekut. Rasulullah s.a.w. berkata yang bermaksud, “ Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) adalah kaya jiwa.”

 

Sejak kebelakangan ini, isu muflis di kalangan anak muda amat membimbangkan. Kebanyakan lepasan graduan terikat dengan hutang pinjaman pelajaran, hutang sewa beli kenderaan dan kad kredit yang membebankan. Terdapat beberapa tips berguna dan saranan dari penulis berkaitan hutang-hutang tersebut dalam pertengahan bab buku ini. Antaranya menambahkan pengetahuan dalam pendidikan dan perancangan kewangan yang baik, berbelanja mengikut kemampuan, banyakkan berdoa memohon rezeki yang halal dan baik daripada Allah swt dan membuat hutang sihat iaitu membuat pinjaman untuk menambahkan aset (seperti rumah, saham etc.) 

 

Kaedah Snow ball Debt Settlement adalah salah satu teknik daripada beberapa pakar kewangan dimana ia memberi penekanan bagi menyelesaikan baki hutang yang paling minima terlebih dahulu turut dihuraikan dengan mendalam oleh penulis dalam Bab 5 supaya dapat dipraktikkan dan dijadikan panduan pembaca. Melalui pembacaan buku ini, ia dapat memberi idea bagaimana untuk kita keluar daripada belenggu masalah keterhutangan yang serius disamping membentuk kehidupan dan keluarga yang bahagia dan bersederhana dalam berbelanja. Bak kata pepatah, ukurlah baju di badan sendiri. 

 

Di pengakhiran bab buku ini, pembaca didedahkan dengan salah satu aspek penting dalam pengurusan kewangan iaitu pengurusan risiko dan perlindungan harta atau sumber kewangan. Salah satu instrumen kewangan yang sesuai untuk melindungi hutang kita adalah takaful. Empat takaful yang difokuskan ialah takaful nyawa, perubatan, rumah dan motor (kenderaan). Kewajipan menunaikan zakat dan amalan bersedekah juga turut ditekankan di akhir bab buku ini.

 

Kesimpulan

Buku ini sangat menarik dan bagus dijadikan sebagai salah satu bahan biblioterapi. Pengurusan hutang yang bijak dan pelbagai ilmu kewangan yang diperoleh melalui penulisan buku ini sangat penting serta sesuai untuk dipraktikkan oleh semua golongan terutamanya anak muda agar dapat menjalani kehidupan tanpa hutang sekaligus memberi ketenangan fikiran dan perasaan. Akhir kata memetik kata-kata penulis, “ramai orang menyangka bahagia itu apabila kaya dan banyak harta tetapi sebenarnya harta itu cuma alat dan bahagia adalah matlamat. Ramai juga orang tidak bahagia walaupun mempunyai banyak harta.”

Tarikh Input: 08/08/2022 | Kemaskini: 08/08/2022 | khairul_zul

PERKONGSIAN MEDIA

PERPUSTAKAAN SULTAN ABDUL SAMAD
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8642
03-9769 4747
SXERGAm~